Khamis, 29 Jun 2017 - 3:35PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Galaxy Note 7 yang diubah suai bakal dipasarkan


GALAXY Note 7. - Foto REUTERS

SEOUL: Samsung Electronics Co Ltd bercadang menjual versi diubah suai telefon pintar Samsung Galaxy Note 7, model telefon pintarnya yang ditarik dari pasaran tahun lalu berikutan baterinya mudah terbakar.

Telefon pintar itu ditarik dari pasaran secara kekal pada Oktober tahun lalu, kira-kira dua bulan selepas pelancarannya berikutan beberapa telefon pintar model berkenaan terbakar sendiri.

Siasatan mendapati masalah pengeluaran dalam bateri yang dibekalkan oleh dua syarikat berbeza, Samsung SDI Co Ltd dan Amperex Technology Ltd.

Analisis Samsung dan penyelidik bebas mendapati tiada masalah lain dalam peranti Note 7 kecuali bateri, meningkatkan spekulasi Samsung akan mendapat semula sebahagian daripada kerugian dengan menjual Note 7 yang diperbaharui.

Sumber rapat memberitahu Reuters pada Januari, pengeluar telefon pintar itu menimbang kemungkinan menjual versi peranti itu yang diubah suai atau menggunakan sebahagian komponennya.

Pengumuman Samsung bahawa Note 7 yang diubah suai akan kembali dijual mengejutkan dengan hanya beberapa hari sebelum ia melancarkan telefon pintar S8 esok di Amerika Syarikat (AS), telefon premium baharu pertamanya sejak kejatuhan tahun lalu.

Samsung yang berdepan tekanan untuk memulihkan imejnya selepas skandal bateri terbakar, sebelum ini tidak mengulas mengenai rancangan bagi telefon pintar itu.

"Mengenai peranti Galaxy Note 7 sebagai telefon diubah suai atau telefon sewa, kebolehgunaan peranti itu bergantung kepada rundingan dengan pihak berkuasa kawal selia dan syarikat penerbangan berikutan pertimbangan yang sewajarnya daripada permintaan tempatan," kata Samsung dalam satu kenyataan.

Samsung berkata, ia akan memilih pasaran dan tarikh sewajarnya bagi mengeluarkan peranti Note 7 yang diubah suai itu. - Reuters


Trending

    Disyorkan