Ahad, 19 March 2017 | 2:01pm

Tragedi lemas: Mayat mangsa terakhir ditemui

 

KUALA KUBU BHARU: Mayat terakhir daripada tujuh mangsa yang hilang dihanyutkan arus deras di anak Sungai Selangor, Jumaat lalu, akhirnya berjaya ditemui sebentar tadi.

Mayat, Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12 tahun, ditemui di tebing Sungai Selangor dalam jarak kira-kira 13 kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata waris kepada dua mangsa kini berada di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk proses pengecaman.

"Mayat kanak-kanak itu dijumpai oleh sekumpulan pemancing yang berada berhampiran rumah pam di Sungai Selangor.

"Jarak mayat sudah melebihi radius pencarian jauh lima kilometer dari muara sungai dan pengecaman mayat dibuat oleh abang mangsa berusia 21 tahun di lokasi mayat ditemui," katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Sebelum ini, dua mangsa, Mohd Ikhwan Mohd Ridhuan, 10, dan Muhammad Aiman hilang selepas dihanyutkan air deras bersama enam rakan.

Lima mangsa ditemui lemas manakala seorang terselamat.

Mereka yang sedang menangguk ikan di anak Sungai Selangor berhampiran Kampung Timah tidak sempat menyelamatkan diri ketika air deras berpunca daripada kepala air melanda kawasan itu.

Pusat operasi kawalan ditutup pada jam 2.30 petang tadi.

 


MAYAT Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, ditemui pada jam 1.15 tengah hari tadi. - Foto ihsan Bomba
202 dibaca
Berita Harian X