Ahad, 19 March 2017 | 11:38am

Tragedi lemas: 1 lagi mayat ditemui


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa mayat ke enam yang dijumpai di Sungai Selangor 3 kilometer dari kawasan operasi menyelamat kejadian lemas di Kampung Timah SKC, Bukit Beruntung. Enam mayat telah ditemui. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA KUBU BHARU: Mayat seorang daripada dua mangsa yang hilang dihanyutkan arus deras di anak Sungai Selangor, Jumaat lalu ditemui sebentar tadi.

Mayat yang belum dapat dipastikan identitinya itu ditemui jam 11.15 pagi di tebing Sungai Selangor dalam jarak kira-kira lima kilometer dari pusat operasi mencari di Kampung Timah di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata waris kepada dua mangsa kini berada di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk proses pengecaman.

Sebelum ini, dua mangsa, Mohd Ikhwan Mohd Ridhuan, 10, dan Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, hilang selepas dihanyutkan air deras bersama enam rakan. Lima mangsa ditemui lemas manakala seorang terselamat.

Mereka yang sedang menangguk ikan di anak Sungai Selangor berhampiran Kampung Timah tidak sempat melarikan diri ketika air deras berpunca daripada kepala air melanda kawasan itu.

59 dibaca
Berita Harian X