Jumaat, 17 March 2017 | 2:54pm

FGV mahu tingkatkan kualiti BTS


DATUK Zakaria Arshad. - Foto Zulfadhli Zulkifli

BANDAR SERI JEMPOL: FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menetapkan sasaran untuk mencapai kadar perahan minyak (OER) sebanyak 22 peratus pada tahun 2020.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad, berkata kadar OER di kilang sawit FGV tahun lalu hanya 20.73 peratus.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, kualiti buah tandan segar (BTS) yang dibekalkan kepada kilang FGV oleh peneroka dan pekebun kecil perlu dipertingkatkan.

"Pembekal BTS perlu berusaha mencapai kualiti yang ditetapkan, iaitu 100 peratus masak, selaras dengan Manual Penggredan Buah Kelapa Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Edisi ketiga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Kempen Meningkatkan Kualiti BTS peringkat kebangsaan oleh Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, di Kilang Sawit FGV Serting Hilir di sini, hari ini.

Zakaria berkata, kempen itu diadakan secara berterusan kerana FGV bersungguh-sungguh mahu membantu peneroka dan pekebun kecil menaikkan pendapatan dengan meningkatkan kualiti BTS yang dihantar ke kilang FGV seluruh negara.

Katanya, peneroka dan pekebun kecil penting kerana menyumbangkan kira-kira 66 peratus daripada BTS di kilang FGV.

Beliau berkata, kempen itu juga memanfaatkan peneroka dan pekebun kecil kerana dapat mengetahui amalan pengurusan ladang terbaik yang sekali gus meningkatkan kualiti BTS mereka.

"Kita menerangkan mengenai sistem penggredan, faktor yang menyebabkan hasil dikenakan penalti serta peranan Jawatankuasa Permuafakatan Peningkatan Kualiti (JPPK( bagi menentukan kualiti BTS," katanya.

Zakaria berkata, penerangan itu penting kerana masih banyak kekeliruan berhubung cara penggredan dan harga BTS.

211 dibaca
Berita Harian X