Isnin, 22 Disember 2014 | 5:12pm

Banjir: Bilangan mangsa di Kelantan, Terengganu turun, di Pahang naik

KUALA LUMPUR: Bilangan mangsa banjir di tujuh jajahan di Kelantan pada sebelah petang turun, begitu juga di Terengganu manakala di Pahang meningkat.

Di Kelantan, ia berkurangan kepada 16,125 orang berbanding 16,181 orang pada tengah hari.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, mangsa ditempatkan di 53 pusat pemindahan sama seperti tengah hari.

Mereka yang berpindah membabitkan 5,330 keluarga.

Jajahan Pasir Mas masih merekod bilangan terbanyak iaitu 10,575 orang di 32 pusat pemindahan berbanding 10,264 orang pada tengah hari.

Di Tumpat, bilangan mangsa berkurang kepada 4,347 orang berbanding 4,7634 pada tengah hari di tujuh pusat pemindahan.

Namun bilangan mangsa di Kuala Krai meningkat kembali kepada 443 orang berbanding 417 orang pada tengah hari di lima pusat.

Di Pasir Puteh (556 orang/empat pusat pemindahan), Tanah Merah (145 orang/tiga pusat pemindahan), Machang (19 orang/satu pusat pemindahan) dan Kota Bharu (40 orang/satu pusat pemindahan).

Bacaan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada paras bahaya sementara bacaan di tiga sungai utama kembali meningkat.

Sungai Galas di Dabong, Gua Musang mencatat bacaan 38.44 meter melepasi paras bahaya 38 meter, Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai 37.3 meter (bahaya 35 meter) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai 26.53 meter (bahaya 25 meter).

Sungai Golok di Rantau Panjang mencecah 10.42 meter melepasi bahaya 9 meter. Pada sebelah petang dilaporkan hujan lebat di kawasan pedalaman.

Di TERENGGANU, bilangan mangsa turun kepada 5,152 orang berbanding 5,205 orang pada tengah hari.

Dungun masih mencatat mangsa paling ramai iaitu 2,208 orang diikuti Kemaman (1,572), Hulu Terengganu (211), Besut (186), Kuala Terengganu (917), Marang (36) dan Setiu (22).

Menurut laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, 50 pusat masih beroperasi iaitu 4 di Besut, Dungun (18), Hulu Terengganu (3), Kemaman (17), Kuala Terengganu (5), Setiu (2) dan Marang (1).

Di PAHANG iaitu Daerah Kuantan, bilangan mangsa meningkat kepada 657 orang daripada 182 keluarga di 11 pusat pemindahan, berbanding 318 orang daripada 85 keluarga pada tengah hari di lapan pusat pemindahan.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berkata, tiga lagi pusat pemindahan dibuka iaitu di Wisma Belia Indera Mahkota yang mula dibuka pada 12 tengah hari bagi menempatkan 14 orang daripada tiga keluarga, Dewan Perumahan Awam Kos Rendah Panching (29 orang daripada sembilan keluarga) yang dibuka 12.30 tengah hari dan Balai Raya Kampung Sungai Soi (14 orang daripada tiga keluarga) yang dibuka pada 2.50 petang.

Lapan lagi pusat pemindahan yang beroperasi ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan (364 orang daripada 101 keluarga), Balai Polis Sungai Lembing (80 orang daripada 224 keluarga), Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai (49 orang daripada 13 keluarga).

Sekolah Kebangsaan Cherating (45 orang daripada 12 keluarga), Sekolah Kebangsaan Sungai Ular (24 orang daripada enam keluarga), Balai Raya Kampung Chendor (19 orang daripada lima keluarga), Dewan Orang Ramai Kampung Semangat (12 orang daripada empat keluarga) dan Sekolah Kebangsan Kempadang (tujuh orang daripada dua keluarga).

Jurucakap itu berkata, tiga jalan utama di Kilometer 16 dan Kilometer 31 Jalan Kuantan-Sungai Lembing dan Jalan Bandar Sungai Lembing ditutup kepada semua kenderaan.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang mengesahkan tiada daerah lain yang merekod pemindahan mangsa.

Hujan sederhana kadang kala lebat yang turun di Daerah Kuantan, Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin dijangka berterusan sehingga esok.

Laman web Jabatan Pengairan Dan Saliran melaporkan bacaan paras air di tiga batang sungai utama telah melepasi paras amaran iaitu Sungai Pahang di Sungai Yap pada paras 50.17 meter yang melepasi paras amaran 50 meter, Sungai Kuantan di Pasir Kemudi 6.54 meter melepasi paras amaran 6.40 meter dan Sungai Kuantan di Kuantan Bypass 3.23 meter melepasi pasar amaran 3.15 meter.

- BERNAMA

94 dibaca
Berita Harian X