Selasa, 7 Februari 2017 | 7:57pm

Majlis amal bantu Ben Nathan

KUALA LUMPUR: Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) mengalu-alukan penyertaan penggiat seni bagi memeriahkan lagi Majlis Makan Tengah Hari yang akan diadakan di Saloma Bistro, di sini, sebelum Mei depan, untuk membantu Ben Nathan.

Pengerusinya, Datuk DJ Dave, berkata semua hasil kutipan jualan meja dan tiket acara yang mendapat sokongan penuh pengasas Jojo Events, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir, itu akan disalurkan kepada usaha meringankan beban ditanggung penyanyi terbabit.

Katanya, ramai di kalangan selebriti memberikan maklum balas positif ingin menyumbangkan sesuatu kepada penyanyi berkenaan sebaik saja berita penganjuran acara khas itu dikongsi, sekali gus membuktikan penyatuan penggiat industri.

"Saya dan YA1M ikhlas membantu Ben, malah kami berbesar hati apabila Tan Sri Jojo (Syed Mohd Yusof) sendiri menghubungi saya untuk merealisasikan majlis amal ini dengan menyediakan Saloma Bistro sebagai lokasi di samping keperluan lain.

"Kami sudah niatkan semua hasil dan sumbangan yang diterima nanti akan diserahkan kepada Ben kerana itulah tujuan asal acara ini. Kami turut mengalu-alukan penyertaan mereka yang ingin sama-sama membantu.


DAVE (kanan) dan Syed Mohd Yusof mengadakan pertemuan di ibu kota, hari ini.

"Bagi saya, penganjuran majlis yang berkonsepkan makan tengah hari itu diadakan bukan untuk meraih publisiti, sebaliknya atas dasar kemanusiaan. Kalau boleh ia hendak diadakan sebelum Ramadan nanti," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Syed Mohd Yusof, di sini petang tadi.

Keadaan menyedihkan penyanyi Stanza Sepi Sekeping Hati itu meraih perhatian ramai selepas video menunjukkannya dalam keadaan tidak terurus dirakam dan dikongsi seorang peminat di laman sosial, kira-kira dua minggu lalu.

Susulan itu, pada Rabu lalu, YA1M bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan dan polis membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan kesihatan serta mental.

Ben, yang hidup bergelandangan di sekitar ibu negara sejak 24 tahun lalu, kini ditempatkan di Wad Psikiatrik HKL bagi pemantauan untuk beberapa hari lagi sebelum status hak penjagaan diserah kepada JKM atau keluarga.

Sementara itu, Syed Mohd Yusof berkata, beliau terpanggil untuk menganjurkan majlis amal itu disebabkan simpati dengan keadaan penyanyi terbabit, yang memerlukan sokongan ramai bagi membolehkannya menjalani hidup seperti insan lain.

59 dibaca
Berita Harian X