Selasa, 16 Disember 2014 | 5:24pm

Lukisan RM1.5 juta ditemui semula, lapan ditahan termasuk seorang Datuk


KETUA Polis Daerah Sepang, ACP Yusoff Awang menunjukan lukisan milik Chen Shijik dari China yang dicuri bernilai RM 1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA), di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang. - Foto Abd. Rahim Rahmat

SEPANG: Enam lukisan berharga RM1.5 juta karya seorang pelukis terkenal dari China, Chen Shijie yang dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Nov lepas ditemui semula 6 Dis lepas di sebuah rumah di Damansara.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata, penemuan semula itu membawa kepada penahanan lapan individu termasuk seorang pemilik galeri bergelar Datuk di sekitar Kuala Lumpur yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes kehilangan lukisan itu.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata Chen, 54, tiba di Malaysia pada 20 Nov lepas untuk menyertai pameran lukisan di Kuala Selangor dan kumpulan suspek tersebut yang sebelum itu mengikuti satu pameran lukisan di Beijing, pulang ke Malaysia dengan menaiki pesawat yang sama dengan Chen.

"Mengetahui pelukis itu datang ke Malaysia untuk menyertai pameran, kumpulan suspek itu menyasar untuk mencuri lukisan-lukisan Chen yang diletakkan dalam sebuah kotak di tempat mengambil bagasi di KLIA," katanya.

Mohd Yusoff berkata Chen terkejut apabila mendapati lukisannya hilang ketika mahu menuntut barangannya di bahagian bagasi pada pukul 8.30 pagi pada hari kejadian.

Ekoran kehilangan itu, Chen membuat aduan di bahagian 'lost & found' KLIA dan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Mohd Yusoff berkata polis membuat tangkapan pertama pada 6 Dis melibatkan seorang pelukis berumur 44 tahun yang merupakan suspek utama kes tersebut di rumah lukisan itu ditemui.

Keesokannya tujuh lagi suspek berumur antara 19 tahun dan 69 tahun ditahan termasuk Datuk berkenaan, dua orang pelukis yang juga pensyarah serta empat wanita di sekitar Kuala Lumpur, katanya.

Kes disiasat Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Kesemua lukisan itu diserahkan semula kepada Chen, katanya.

Mengenai keunikan lukisan Chen yang dicuri itu, Mohd Yusoff berkata kesemua karyanya adalah mengenai pemandangan gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest di mana setiap lukisan dilukis pada ketinggian yang berbeza. "Salah satu lukisannya pada 2011 merupakan gambar pada setem negara China dan lukisan itu mendapat pengiktirafan 'Guinness Book of Record' kerana dilukis pada ketinggian 7,000 kaki dari paras laut," katanya.

Chen yang turut hadir pada sidang media itu berkata beliau amat risau dan sedih tentang kehilangan lukisan-lukisannya kerana ia adalah antara karya terbaik beliau.

Melalui penterjemah, beliau mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menemui semula kesemua lukisannya.

Katanya beliau tidak serik untuk datang ke Malaysia walaupun ditimpa insiden itu dan berhasrat untuk melukis panorama alam semula jadi di Malaysia dalam kunjungan akan datang. - BERNAMA

100 dibaca
Berita Harian X