Khamis, 11 Disember 2014 | 11:27am

Lebih ramai Rohingya, warga Bangladesh menuju Asia Tenggara

NEW YORK: Aliran keluar pelarian dari Teluk Benggala memuncak pada bulan Oktober dan untuk tahun ini sahaja 21,000 Rohingya dan warga Bangladesh dilapor belayar menuju Asia Tenggara.

Malaysia dan Thailand adalah destinasi pilihan paling disukai pelarian-pelarian ini.

Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), William Spindler pada majlis taklimat akhbar baru-baru ini berkata, perangkaan ini termasuk peningkatan 37 peratus untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, kira-kira 10 peratus dipercayai kaum wanita sementara kira-kira satu pertiga pelarian yang ditemu bual oleh UNHCR di Thailand dan Malaysia berumur bawah 18 tahun.

"Aliran keluar pelarian dari Teluk Benggala memuncak pada bulan Oktober, apabila laut kurang bergelora selepas berakhirnya musim hujan," jelas Spindler sambil menambah, jumlah aliran keluar pelarian Oktober tahun ini meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Dianggarkan 120,000 orang telah melakukan pelayaran itu sejak awal tahun 2012 dan mereka dilapor membayar kepada ejen antara AS$1,600 hingga AS$2,400 (RM5,500-8,500).

Pelarian-pelarian itu mungkin menjadikan destinasi Asia Tenggara sebagai persinggahan sementara sebelum meneruskan perjalanan ke Australia atau negara maju yang lain untuk mendapatkan taraf pelarian yang amat mereka dambakan.

Menurut pengiraan UNHCR, berdasarkan kekerapan serta kos pelayaran seumpama itu, pihak yang menjalankan penyeludupan pelarian ini mungkin telah mengaut hampir AS$250 juta (RM900 juta) dalam tempoh tiga tahun terakhir ini sahaja apabila jumlah pelarian memuncak.

Spindler berpendapat, peningkatan angka pelarian berpunca daripada situasi semasa di Myanmar yang mana ketegangan serta konflik etnik mungkin menyebabkan kumpulan etnik minoriti Rohingya meninggalkan negara itu.

Bagaimanapun, beliau memberi peringatan bahawa cara yang digunakan oleh penyeludup itu membahayakan nyawa pelarian itu.

Kebanyakan pelarian yang melakukan pelayaran berkenaan pada awalnya dikenakan bayaran yang sedikit.

Bagaimanapun, setibanya mereka di destinasi yang dituju, pelarian akan ditahan secara paksa sehingga keluarga atau saudara-mara membayar sejumlah wang yang banyak untuk pembebasan mereka.

Dalam kebanyakan kes, mereka itu ditahan dalam keadaan yang teruk dan turut dipukul, diseksa serta dirogol.

Bagaimanapun, penderitaan mereka mungkin tidak akan berakhir meskipun telah dibebaskan.

Mereka mungkin ditahan di negara yang mereka mendarat, hidup dalam penuh ketakutan bagaimana untuk menyara hidup dan malahan, berdepan dengan kemungkinan dihantar pulang ke negara asal.

Menurut Spindler, keadaan itu amat merunsingkan pelarian. - BERNAMA

56 dibaca
Berita Harian X