Isnin, 12 Disember 2016 | 12:11am

Berambut atau botak, kulit kepala perlu rawatan

RAMAI yang tidak mengambil peduli mengenai masalah rambut berbanding menjaga kecantikan wajah.

Sama saja sama ada lelaki atau perempuan, mereka sekadar mencuci rambut apabila rambut sudah terasa gatal atau berkelemumur.

Ada juga yang tidak kisah rambut botak kerana menganggap ia sebagai fesyen.

Dengan gaya hidup, makanan, tekanan, bahan kimia dan persekitaran yang tercemar, menyumbang kerosakan pada rambut sekali gus menjejaskan penampilan diri.

Penjagaan rambut bermula dari kulit kepala hingga ke hujung rambut, kerana ia ibarat mahkota yang tidak ternilai, tidak kira wanita bertudung atau lelaki.


PENDANDAN Rambut Kanan Salun Rambut The Hair Tric, Qamal Daud (kiri). - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ini kerana rambut memerlukan penjagaan konsisten termasuk bahagian kulit kepala yang terlindung di sebalik helaian rambut.

Pendandan Rambut Kanan Salun Rambut The Hair Tric, Qamal Daud, berkata seelok rawatan untuk rambut adalah bermula dengan rawatan kulit kepala.

"Seiring gaya hidup dan kesibukan masa, rawatan rambut di salun menjadi pilihan. Bagaimanapun tidak untuk rawatan kulit kepala kerana merasakan ia membazir, terlindung dan cukup sekadar penjagaan luaran.

"Meskipun banyak salun rambut menawarkan rawatan khusus kulit kepala, tidak ramai sedar akan kepentingan dan di sini menjadi cabaran kita mencadangkan kepada pelanggan," katanya.

Justeru, salun itu menunjukkan rawatan kulit kepala yang menggunakan teknologi Scalptura, iaitu rawatan bio-compatible yang dibuat ke atas, eksekutif perhubungan awam bebas, Hafreez Amminuddin, 23.

Hafreez yang mempunyai rambut kerinting panjang, tidak menghadapi masalah kulit kepala serius meskipun ini kali pertama mencuba rawatan kulit kepala.


QAMAL Daud melakukan rawatan kulit kepala menggunakan teknologi Scalptura di The Hair Tric di Bangsar. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Saya tertarik mencuba rawatan ini selepas berpuas hati dengan perkhidmatan mewarna rambut mereka, lagipun tidak mencubanya bagi mengetahui keadaan kulit kepala berikutan ia menggunakan mesin berteknologi tinggi.

"Sepanjang hampir sejam rawatan, kulit kepala menjadi segar, sejuk berikutan sapuan serum dan menyaksikan sendiri keadaan mikro kulit kepala yang diimbas melalui mesin Scalptura," katanya.

Hasil imbasan itu menampakkan kutikel halus dari akar rambut yang mempengaruhi kulit kepala sama ada kering, berminyak lalu rawatan bersesuaian diberikan.

Bagi Qamal, 32, sebagai pendandan rambut, rawatan kulit bergantung kepada keadaan kulit kepala seseorang, itu yang hanya cukup sekadar sekali dalam masa sebulan, jika tiada masalah boleh dilakukan dua bulan sekali.

"Misalnya rambut dan kulit kepala skala 4.5 hingga 5.5 dikira pH normal. PH ini adalah ukuran konsentrasi ion hidrogen dari larutan, yang boleh diukur menggunakan pengujian mesin berteknologi tinggi.

"Ramai tidak tahu punca rambut gugur, kelemumur, berbau hapak, botak disebabkan bakteria halus dalam lapisan kulit kepala. Rawatan dari dalam penting untuk mengekalkan kecantikan di luaran," katanya.

Beliau yang memperoleh pendidikan di Sasson Vidal, London ini mempunyai pengalaman dalam bidang rambut kira-kira 13 tahun berkata, rawatan kulit kepala membantu pengaliran darah lebih lancar.

"Misalnya setiap orang tidak terkecuali berdepan keguguran rambut, namun ia dibezakan antara serius atau tidak. Rawatan ini juga disyorkan kepada wanita bertudung kerana hampir setiap masa kepala diliputi tudung dan menghalang pengudaraan yang baik.

"Begitu juga kepada mereka yang gemar mewarnakan rambut, jadi rawatan kulit kepala kaedah terbaik untuk menyingkirkan bahan kimia, sekali gus memulihkan masalah rambut secara konsisten," katanya.

Rawatan kulit kepala


RAMBUT memerlukan penjagaan konsisten termasuk bahagian kulit kepala yang terlindung di sebalik helaian rambut. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Selain mengurangkan bau kurang menyenangkan, teknologi rawatan kulit kepala menggunakan mesin yang dikenali Biothik, lengkap imbasan yang membantu melihat mikro bakteria supaya masalah akar rambut dapat diatasi.

Qamal berkata, lima rangkaian serum disyorkan kepada pengguna bergantung masalah yang mereka hadapi, supaya kutikel atau akar rambut mendapat nutrien dan mengembalikan sinaran rambut.

"Rawatan ini usaha memulihkan akar rambut supaya menggalakkan pertumbuhan rambut baru, sekali gus memberi keyakinan kepada empunya diri kerana tiada masalah rambut gugur, kelemumur, berbau dan lain lagi," katanya.

Bagi lelaki, rambut perlu dipotong terutama pada bahagian hujung antara lima hingga enam minggu sekali supaya rambut baharu dapat tumbuh.

Bagi wanita, masa antara lapan minggu adalah terbaik, iaitu disarankan memotong lebih kurang dua inci (5.08 sentimeter).

Rawatan teh hijau


RAWATAN kulit kepala di The Hair TRIC di Bangsar. NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

Beliau berkata, bahan terbaik untuk rawatan kulit kepala disyorkan adalah rosemary dan teh hijau, bahkan pelanggan tidak lagi susah mencari salun berikutan banyak pusat menawarkan rawatan seumpama itu.

"Misalnya, kita disarankan memilih syampu dan perapi yang sesuai dengan masalah kerosakan rambut sekali gus melindungi rambut daripada kerosakan lain.

"Rasionalnya, cegah dulu masalah di bahagian asas kerana asas yang baik dan kukuh akan memberikan hasil lebih baik. Rambut memainkan peranan penting dalam menonjolkan penampilan diri," katanya,

Secara saintifiknya, kira-kira 100 helai rambut akan gugur dan diganti dengan pertumbuhan rambut yang baharu. Rambut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu folikel (dalam kulit kepala) dan batang rambut (luar kulit kepala).

"Bagaimanapun folikel dalam kulit kepala akan berkurangan mengikut usia. Setiap helai rambut terdiri daripada tiga lapisan keratin. Lapisan luar rambut atau kutikel pula berfungsi melindungi dua lapisan di bahagian dalam rambut.

"Justeru, amat penting menitikberatkan penjagaan asas iaitu akar dan kulit rambut sebelum bermacam-macam penggayaan dilakukan. Bagi penjagaan pula, ia berbeza mengikut jenis, gaya dan aktiviti yang dilakukan," katanya.

Jenis syampu yang digunakan dan kekerapan membasuh rambut juga perlu mengikut kelembapan rambut dan masalah dialami.

Langkah demi langkah rawatan kulit kepala

1. Rambut dicuci terlebih dulu

2. Sapuan serum pada kulit kepala.

3. Imbasan selama lima minit dilakukan

4. Rawatan dimulakan

5. Rambut didandan kemas selepas selesai rawatan

919 dibaca
PENDANDAN Rambut Kanan Salun Rambut The Hair Tric, Qamal Daud. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
BAHAN terbaik untuk rawatan kulit kepala disyorkan adalah rosemary dan teh hijau. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
JENIS syampu yang digunakan dan kekerapan membasuh rambut perlu mengikut kelembapan rambut dan masalah dialami pengguna.
Berita Harian X