Isnin, 14 November 2016 | 12:16am

ThinkPad P40 Yoga, ThinkStation P410 kuasai perisian Autodesk


ThinkStation P410.

MINGGU lalu Lenovo memperkenalkan dua produk baharu; ThinkPad P40 Yoga Mobile Workstation dan ThinkStation P410 Workstation yang diiktiraf Autodesk memiliki prestasi dan ketepatan menampung keperluan rekaan tiga dimensi (3D) perisian itu.

Tidak dinafikan bagi kebanyakan pengguna termasuk penulis sendiri yang pernah bergantung hidup kepada perisian itu dulu, keupayaan komputer sangat penting bagi melancarkan kerja menyiapkan projek 'rendering' model, simulasi dan visual 3D menerusi Autodesk.

Justeru memahami keperluan profesional seperti arkitek, pereka produk, pereka UX/ UI serta jurutera itu, maka kedua-dua produk dilahirkan sebagai perkakasan berkuasa untuk kekemasan produk, rekaan dan barangan pengilangan.

Bagaimanapun, penulis hanya berkesempatan untuk bermain seketika dengan ThinkPad P40 Yoga Mobile Workstation, laptop pelbagai mod terbaharu keluaran gergasi teknologi itu.

ThinkPad P40 Yoga Mobile Workstation dibangunkan bersama Intel Generasi Keenam Core i7 sebagai CPU, grafik NVIDIA Quadro dan RAM 16GB yang melancarkan aplikasi profesional berat seperti Autodesk CAD dan perisian CAE termasuk Autodesk Fusion 360 dan Autodesk Inventor.


ThinkPad P40 Yoga.

Bahkan teknologi skrin terbaharu Wacom(R)Active ES, yang menawarkan 2,048 tahap sensitiviti tekanan di atas paparan IPS beresolusi tinggi 2560 x 1440 mengagumkan penulis.

Ujian singkat keatas model yang dipamerkan ketika pelancaran membenarkan menulis merasai sendiri keunikan perbezaannya itu walaupun tidak berpeluang menggunakannya bersama pen stylus yang turut disematkan dibucu skrin.

Sepanjang uji cuba penulis mendapati kekurangannya hanyalah kepada beratnya yang mencecah 1.8 kilogram bagi sebuah laptop berdimensi (13.3 x 9.3 x 0.78 inci).

Namun jika dipertimbangkan kembali kuasa yang disediakan dan kemampuan yang ditawarkan menyamai sebuah komputer meja di pejabat penulis, apatah ciri-ciri mudah alih yang memudahkan urusan kerja maka ia sebenarnya satu percaturan tepat.

ThinkPad P40 Yoga Mobile Workstation mengekalkan empat mod kedudukan laptop iaitu mod tablet, laptop, berdiri dan tent, yang disesuaikan mengikut kehendak dan keperluan kerja pengguna.      

Jika sebelum ini laptop yang dilipat kepada tablet akan menyebabkan papan kekunci di bahagian bawah tertimpa, namun kali ini Lenovo menawarkan penyelesaian.


ThinkPad P40 Yoga.

Untuk kali pertama dalam siri mobile workstation, ThinkPad P40 Yoga memiliki papan kekunci Lift 'n Lock dengan kerangka yang akan naik menutupi papan kekunci apabila pengguna beralih kepada mod tablet.

Ia memberikan keselesaan kepada pengguna untuk penggunaan yang lebih rata dan memelihara ketepatan papan kekunci supaya lebih tahan apatah lagi papan kekunci Lenovo ThinkPad P40 Yoga dibangunkan dengan tekanan yang cukup selesa serta tepat.

Info:

ThinkPad P40 Yoga - RM5,999; 

ThinkStation P410 -  RM4,999, 
** Termasuk GST

42 dibaca
Berita Harian X