Isnin, 7 November 2016 | 4:48pm

Pasukan terbaik SEA Game Jam berpeluang komersilkan permainan


PENGURUS Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs dan Operasi, Nicholas Sagau.

LABS/Kuala Lumpur: Pasukan terbaik pertandingan SEA Game Jam berpeluang mengkomersialkan permainan ciptaan mereka di Alpha Startups, sebuah program pra-permainan oleh Media Prima Labs dan 1337 Ventures.

Menerusi program itu, mereka berpeluang menerima dana tambahan untuk menaiktaraf permainan dan mendapatkan bimbingan dari sudut rekaan permainan, pembangunan dan aspek perniagaan sesebuah permainan.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs dan Operasi, Nicholas Sagau berkata tawaran itu adalah antara hadiah yang menanti peserta SEA Game Jam, pertandingan hackathon selama 36 jam membangunkan sebuah permainan digital.

Katanya, industri permainan mudah alih di Malaysia dilihat semakin mendapat perhatian dan terdapat peningkatan terhadap permintaan kandungan permainan mudah alih di negara ini.

"Bukan sahaja mereka yang bermain, pereka dan pembangun permainan mudah alih juga kini melihat permainan mudah alih sebagai satu industri yang boleh mendatangkan keuntungan melalui nilai komersial yang terdapat padanya," katanya dalam kenyataan semalam.

Pertandingan SEA Game Jam disertai 82 pereka dari negara Asia Tenggara dan juga dari Mesir, Poland dan Taiwan yang diadakan di pusat beli-belah Quill City Mall, di sini.

Nicholas berkata, SEA Game Jam bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda selain turut bertindak sebagai platform kepada penggemar permainan mudah alih menimba ilmu menerusi interaksi antara peserta dari Malaysia dan luar negara.

"Menerusi SEA Game Jam, kita dapat mengumpulkan ramai individu-individu yang berpotensi digilap menjadi pemain industri permainan mudah alih, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga pasaran serantau.

"Kami berharap acara ini dapat menjadi batu loncatan kepada peserta mendalami dengan lebih lanjut pengetahuan serta ilmu berkaitan bidang pembangunan permainan mudah alih.

"Media Prima Labs berharap untuk menarik lebih ramai bakat ke dalam bidang pembangunan permainan seterusnya membawakan yang terbaik dari Asia Tenggara", katanya.

Semua pasukan bertanding akan mempersembahkan idea serta prototaip permainan masing-masing di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur hari ini dan pemenang akan diumumkan esok.

Juara akan membawa pulang wang tunai bernilai RM 8,000, tempat kedua (RM 5,000) dan tempat ketiga RM 3,000 berserta hadiah sampingan Oculus Gear VR.

25 dibaca
Berita Harian X