Jumaat, 16 September 2016 | 11:10pm

Lebih sejuta penduduk lari dari Sudan Selatan - UNHCR


PELARIAN dari Selatan Sudan melintasi sempadan ke Uganda, ketika tiba untuk menunggu pengangkutan dari pusat transit di bandar Koboko, Uganda. - Foto fail AP

JUBA: Jumlah penduduk yang melarikan diri dari Sudan Selatan akibat perang saudara kini melepasi sejuta orang, kata Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

UNHCR berkata, pertempuran yang tercetus di luar ibu kota ini Julai lalu menyebabkan penduduk yang melarikan diri semakin meningkat.

Lebih 1.6 juta orang turut hilang tempat tinggal di Sudan Selatan yang bermakna kira-kira 20 peratus penduduknya tidak berumah sejak Disember 2013.

Satu perjanjian damai rapuh ditandatangani tahun lalu yang kini berada di ambang keruntuhan.

"Keganasan Julai lalu menjadi penghalang terbesar usaha damai di Sudah Selatan," kata jurucakap UNHCR, Leo Dobbs dalam satu kenyataan.

PBB berkata, lebih 185,000 orang melarikan diri dari Sudan Selatan sejak Julai lalu.

"Pertempuran itu menghancurkan harapan perdamaian, mencetuskan gelombang baharu penderitaan dan kehilangan tempat tinggal, dengan organisasi kemanusiaan berdepan kesukaran dari segi logistik, keselamatan dan pembiayaan untuk menyediakan perlindungan dan bantuan segera kepada ratusan ribu penduduk yang memerlukan," kata Dobbs. - Agensi

28 dibaca
Berita Harian X