Sabtu, 20 Ogos 2016 | 11:57am

Zahid mahu Johor bangkit kubu kuat UMNO


AHMAD Zahid menandatangani plak perasmian Rumah Komuniti UMNO Sembrong sambil diperhatikan Hishammuddin (tiga dari kiri) pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong dan Perasmian Rumah Komuniti UMNO Sembrong di Taman Sri Lambak, Kluang, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KLUANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu UMNO Johor bangkit dan menebus maruah dengan merampas semula kerusi yang jatuh kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO mengakui bimbang dengan kedudukan Johor yang sebelum ini menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Mengikut profil di Johor ini, saya bimbang dengan apa yang kita peroleh (ketika PRU lalu), Johor adalah tapak kuat UMNO dan BN, tapi dibolosi pihak pembangkang," katanya merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sempena program itu, Ahmad Zahid turut merasmikan Rumah Komuniti UMNO Sembrong.

Ahmad Zahid berkata, beliau percaya UMNO Johor yang dipimpin Ketua Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mampu membuat penembusan maruah dan merampas kembali kerusi terbabit.

"Ia tidak akan berjaya tanpa dokongan rakan yang terdiri daripada sayap di bawah UMNO dan BN," kata beliau sambil menambah akan membantu dalam memastikan kemenangan BN di Johor.

Beliau berkata kemenangan parti dan BN di Johor adalah penting memandangkan ia adalah kubu kuat parti itu dan mempunyai hubung kait dengan senario politik di Malaysia.

250 dibaca
Berita Harian X