Khamis, 18 Ogos 2016 | 5:39pm

Pasukan petugas bersama UNHCR-Malaysia tangani isu pelarian


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan isu berkaitan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan isu berkaitan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Berdasarkan kenyataan media, mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan kerjasama kerajaan Malaysia dengan UNHCR dalam pengeluaran kad UNHCR berciri keselamatan tinggi bermula 1 Jun lalu.

Pengeluaran kad berkenaan akan melalui langkah tapisan ketat yang mungkin melewatkan penggantian kad UNHCR lama, bertujuan menangani masalah pengeluaran kad UNHCR palsu.

"Sehubungan itu, satu Pasukan Petugas Bersama Malaysia-UNHCR akan ditubuhkan supaya kerjasama berterusan dapat diwujudkan dalam menangani isu migrasi yang kompleks.

"Ahli pasukan ini merangkumi pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar dan UNHCR," kata kenyataan berkenaan.

Menerusi pasukan itu, kerajaan akan bekerjasama dengan UNHCR dalam aspek permohonan dan pengeluaran kad UNHCR, manakala proses penentuan status pelarian masih di bawah tanggungjawab UNHCR sepenuhnya.

Mengikut Konvesyen PBB Mengenai Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia dan UNHCR menjalin kerjasama selama 41 tahun sejak pejabat UNHCR di sini dibuka pada 1975 susulan kebanjiran pemohon suaka dari Vietnam.

Peranan utama UNHCR di Malaysia adalah bagi memproses permohonan status pelarian yang dikemukakan pelarian Vietnam berkenaan.

UNHCR yang juga bertanggungjawab menyelaras penempatan semula pelarian di negara ketiga, menghadapi masalah mempercepatkan penempatan semula pelarian terbabit dan sementara berada di negara ini, mereka diberi Kad UNHCR.

147 dibaca
Berita Harian X