Khamis, 11 Ogos 2016 | 10:10pm

Media Prima catat pertumbuhan pendapatan bukan tradisional

KUALA LUMPUR: Usaha strategik Media Prima Bhd menjana sumber pendapatan bukan tradisional mula membuahkan hasil apabila mencatat pertumbuhan pendapatan 15 peratus pada suku kedua tahun kewangan 2016 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pelancaran CJ Wow Shop, satu usaha sama oleh Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) yang dilancarkan April tahun ini, berjaya mencatatkan jualan hampir RM20 juta dalam tempoh tiga bulan pertama beroperasi.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar, berkata langkah kumpulan memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan berbentuk 'Perniagaan Kepada Pengguna (B2C)' sepanjang 2016 terbukti tepat.

Katanya, ia dapat dicapai walaupun pendapatan daripada penjualan akhbar serta pengiklanan bagi televisyen dan akhbar terus menurun, menggambarkan dengan jelas keberkesanan pelan kepelbagaian yang sedang diusahakannya bagi menjana pendapatan bukan tradisional.

Beliau berkata, tahun ini kumpulan melancarkan beberapa inisiatif baharu bagi mengurangkan kesan penurunan dalam pendapatan bersumber pengiklanan dan penjualan akhbar.

"Ini termasuk rombakan dalam 'tonton' (portal video atas talian berasaskan langganan), pelancaran FullAMark (portal pendidikan), aplikasi mudah alih dan penerbitan digital yang tersedia untuk gajet IOS atau Android.

"Sumber pendapatan baharu, terutama hasil jualan barangan melalui CJ Wow Shop, banyak membantu mengurangkan impak penurunan dalam segmen pendapatan tradisional kumpulan," katanya dalam kenyataan mengumumkan keputusan kewangan Media Prima bagi suku kedua tahun kewangan 2016 di Kuala Lumpur, semalam.

Bagi tempoh separuh pertama 2016, pendapatan kumpulan merosot enam peratus kepada RM653.6 juta, daripada RM695.2 juta yang direkodkan pada separuh pertama tahun lalu.

Kumpulan merekodkan pendapatan dan keuntungan selepas cukai (PAT) masing-masing RM349.5 juta dan RM24.4 juta bagi suku kedua tahun ini, berbanding RM365.8 juta dan RM42.3 juta pada suku kedua 2015.

Media Prima mengumumkan dividen interim pertama sebanyak dua sen bagi setiap saham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata walaupun teruja dengan prestasi inisiatif terbaharu kumpulan, peningkatan pendapatan dalam platform media seperti Radio (12 peratus), Televisyen (3 peratus) dan Pengiklanan Luar Rumah (4 peratus) adalah satu keputusan positif.

Katanya, ia dicapai walaupun terpaksa berdepan sentimen pasaran dan ekonomi yang tidak menentu serta tempoh pembangunan inisiatif baharu.

Beliau berkata, kos permulaan dan pelaksanaan CJ Wow Shop dan stesen radio terbaharu Kool FM memberi kesan kepada PAT bagi kedua-dua perniagaan televisyen dan radio.

"Kami akan terus berusaha bagi memperluaskan sumber pendapatan bukan tradisional ini dan pada masa sama mempertahankan perniagaan teras kami," katanya.

Amrin berkata, dalam industri media, faktor seperti perpecahan dalam segmen konsumer, pembangunan teknologi, peralihan pengiklan ke media digital, serta peningkatan persaingan dari syarikat media global akan terus memberi cabaran kepada kumpulan.

Namun begitu, katanya, Media Prima tetap yakin dalam mengharungi cabaran semasa dengan pelan dan strategi perniagaan mantap. MPTN dijangka akan terus menjana hasil melalui strategi kepelbagaian bagi perniagaan beli-belah di rumah, Video On Demand (VOD) dan Multi-Channel Network (MCN).

"Selain CJ Wow Shop, pembaharuan yang dilaksanakan kepada aplikasi 'tonton' (portal video streaming popular di Malaysia dengan 5.6 juta pengguna berdaftar), ditambah dengan penjajaran semula kandungan urban 8TV ke Studio8 yang hanya boleh ditonton melalui YouTube, menjadi antara contoh inisiatif perniagaan yang baharu diperkenalkan pada tahun ini.

"Ia dijangka akan membolehkan MPTN mengukuhkan posisinya sebagai stesen televisyen Free-To-Air (FTA) terunggul di Malaysia.

"Unjuran prestasi bagi industri media cetak di Malaysia dilihat akan terus mencabar dengan penurunan perbelanjaan pengiklanan ekoran sentimen pengguna yang lemah dan ketidaktentuan ekonomi sekarang. Industri ini juga sedang berdepan penurunan jumlah edaran, sebahagiannya disebabkan oleh peralihan pilihan pembaca ekoran perubahan teknologi dan cita rasa pengguna," jelasnya.

Berdasarkan laporan Audit Bureau of Circulations Malaysia, edaran akhbar secara keseluruhannya, mencatat penurunan 12 peratus, membabitkan semua akhbar bahasa Inggeris dan vernakular sepanjang Julai hingga Disember 2015 berbanding tempoh yang sama tahun 2014.

"Seperti mana-mana syarikat akhbar yang lain, cabaran ini memberi kesan terhadap perniagaan cetak Media Prima, yang mana The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) mencatat penurunan pendapatan 18 peratus kepada RM0.5 juta untuk tempoh enam bulan pertama 2016 berbanding tempoh sama tahun lalu yang memberi kesan kepada PAT.

"NSTP akan sentiasa terus melaksanakan strategi pembaikan dan memperkemaskan lagi inisiatif pengurusan kosnya bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan. Peralihan pilihan pengguna juga dilihat sebagai peluang bagi NSTP untuk memberi fokus kepada penyampaian kandungan melalui media digital, disamping mengekalkan penerbitan media cetak tradisional.

"NSTP berjaya mencatatkan lebih 100 peratus peningkatan dalam pendapatan media digital untuk separuh pertama 2016, dari tahun-ke-tahun.

"Pelancaran aplikasi mudah alih untuk New Straits Times, BH dan Harian Metro, termasuk kandungan berita melalui platform digital seperti laman berita, ePaper, Google Newsstand dan laman sosial media, menawarkan integrasi yang lancar antara media tradisional dan baru bagi pengiklan.

"Penerbitan majalah berinteraktif digital seperti ZIP, Tech Kingdom, Speed and Wheels, LET, Dhiya dan juga BH Plus dijangka mampu menjana hasil pendapatan pengiklanan tambahan," jelas Amrin.

Amrin berkata, NSTP juga bercadang mengambil kesempatan dari kedudukannya yang kukuh dalam bidang pendidikan, dengan melancarkan FullAMark, portal pembelajaran berinteraktif untuk murid sekolah.

"Big Tree Outdoor (BTO), syarikat pengiklanan luar rumah Media Prima, juga akan berusaha memperkembangkan tawaran digital iklan luar rumahnya di tapak premium dan lokasi tertentu, sambil meneroka peluang perniagaan baharu.

"Konsesi pengiklanan yang baru dimeterai bagi Jaluran Tambahan LRT dan projek infrastruktur lain bakal membuka peluang untuk menjana pendapatan bagi platform terbabit," katanya sambil menambah BTO kini menguasai lebih 44 peratus pegangan dalam pasaran pengiklanan luar rumah tempatan.

Sementara itu, Media Prima Radio Networks (MPRN) sedang menanti keputusan kaji selidik pendengar oleh GFK, dalam usahanya mencari pasaran baru dalam alam maya radio.

"Pelancaran segmentasi InterAds MPRN sejak pertengahan tahun lalu terbukti berkesan dalam pengiklan, yang rata-rata yakin dengan nilai tambah yang dijana MPRN bagi pelaburan mereka.

"Dalam Media Digital, Media Prima Digital (MPD) akan berusaha untuk menyokong kesemua inisiatif digital dalam Kumpulan. Platform berkenaan bergerak ke arah konsultansi digital serta aplikasi mudah alih dan permainan.

"Aplikasi digital pertama MPD, Ejen Ali, mencapai muat turun lebih 260,000 sejak dilancarkan Mac tahun ini. MPD dijangka mampu menjana lebih banyak pendapatan dari pengiklanan dan pembelian dengan pelancaran lebih banyak aplikasi tak lama lagi.

"Di samping menjadi syarikat pengeluar kandungan Primeworks Studios (PWS), syarikat produksi Media Prima berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai pengedar kandungan yang terunggul di Malaysia melalui kejayaan pengedaran filem popular box office seperti BoBoiBoy The Movie dan Ada Apa Dengan Cinta 2," katanya.

Beliau berkata, PWS juga sedang mencari peluang untuk memperkembangkan lagi kehadirannya dalam industri kandungan dengan mengisi permintaan dalam media digital dan perkhidmatan siaran langsung (streaming) untuk produksi kandungan.

252 dibaca
Berita Harian X