Khamis, 28 Julai 2016 | 12:05am

Wanita dalam haid tak boleh baca, pegang al-Quran

Bolehkah seorang wanita yang sedang haid membaca al-Quran?

Memang tidak dinafikan isu ini mempunyai pelbagai pandangan dalam kalangan ulama fekah. Namun, disebabkan kita di Malaysia mengamalkan Mazhab Shafi'e dalam penentuan sesuatu hukum, maka menjadi satu keperluan kembali kepada mazhab itu supaya tidak berlaku kekeliruan dan pertelingkahan.

Ulama Mazhab Shafi'e telah bersepakat bahawa wanita yang sedang haid tidak dibenarkan membaca al-Quran kerana mereka ketika itu dalam keadaan hadas besar yang wajib menghindari semua perkara berkaitan ibadah khusus seperti solat, puasa dan membaca al-Quran.

Pendapat itu turut disokong ulama Mazhab Hanafi, Maliki dan sebahagian pendapat Mazhab Hambali. Hujah mereka, hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah membaca sesuatu pun dari al-Quran semasa haid dan berjunub." (Riwayat al-Tirmidhi)

Oleh yang demikian, berasaskan kepada hadis Nabi SAW adalah diingatkan kepada wanita yang dalam keadaan haid supaya tidak membaca dan memegang al-Quran tanpa sebarang keperluan.

Ini semua bertujuan untuk memelihara kesucian ayat al-Quran secara umum dan mushaf secara khususnya. Walaupun begitu, ulama tidak melarang golongan ini untuk membaca zikir sama ada yang dipetik dari sebahagian kecil ayat al-Quran atau dari hadis Nabi SAW.

S: Akhir-akhir ini saya agak keliru dengan hukum mengkafirkan orang. Adakah perbezaan ideologi pemikiran mengenai hukum hakam akan menyebabkan seseorang itu kafir sedangkan orang yang dikafirkan itu mengucap dua kalimah syahadah setiap kali solatnya?

Pertama sekali ingin saya tekankan di sini bahawa kita umat Islam dilarang keras mengkafirkan Muslim yang lain sehinggalah terbukti dengan jelas orang itu telah melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT dengan menyembah selain Allah SWT.

Murtad, apabila seseorang itu melakukan perkara yang boleh menyebabkan dia terkeluar daripada Islam seperti menghina al-Quran dan sunah Nabi SAW atau menghina Islam serta syariatnya secara terang-terangan.

Sekiranya perkara itu tidak dapat dibuktikan dengan tepat, maka haram umat Islam mengkafirkan orang lain apatah lagi menghukum orang itu masuk neraka dan sebagainya.

Perkara kedua yang perlu difahami, sesiapa sahaja mengucap dua kalimah syahadah dan meninggal dalam keadaan tauhid, maka baginya hak untuk masuk ke dalam syurga Allah SWT walaupun lewat kerana berkemungkinan dia akan diazab disebabkan dosanya di dunia.

Sabda Nabi SAW: "Barang siapa mengucapkan, `Laa ilaaha illallaah dan kemudian dia meninggal, maka pasti baginya untuk masuk ke dalam syurga." (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya akan keluar dari neraka orang yang mengucapkan, `Laa ilaaha illallaah,' walaupun iman di hatinya hanya sekelumit."

Dalil itu menunjukkan bahawa orang Muslim akan masuk ke dalam syurga di akhirat kelak. Namun, semua itu bergantung kepada amalan dan keampunan Allah SWT atas dosa yang dilakukannya.

Sehubungan itu, nasihat saya jangan sesekali kita mengkafirkan orang lain dengan sewenang-wenangnya. Muhasabah diri, siapakah kita di sisi Allah? Adakah kita rasa kita yang terbaik? Belajarlah menghormati perbezaan pendapat kerana ia akan membawa kepada kemuliaan di penghujungnya.

827 dibaca
Berita Harian X