Jumaat, 10 Jun 2016 | 10:30pm
APLIKASI permainan Ejen Ali.

Permainan Ejen Ali dimuat turun lebih 260,000 kali

KUALA LUMPUR: Pembabitan terbaharu Media Prima Digital (MPD) dalam pasaran aplikasi digital dan permainan membuahkan hasil apabila permainan baharunya Ejen Ali: M.A.T.A Training Academy dimuat-turun lebih 260,000 kali setakat 7 Jun lalu, iaitu tiga bulan sejak pelancaran pada 4 Mac 2016.

Permainan mudah-alih itu dibangunkan unit khas MPD dikenali sebagai MP Labs. MPD adalah antara anak syarikat Media Prima Bhd.

Diadaptasi daripada siri animasi terbaharu TV3 iaitu Ejen Ali, permainan mudah-alih itu mampu memberi kepuasan lebih kepada pemain apabila versi terbaharu dilancarkan pada 30 Mei lalu.

Menjanjikan pengalaman bermain lebih mencabar, versi terbaharu itu ditawarkan dalam tiga mod, iaitu Arcade, Time Attack (Masa Serangan), serta Survival (Jangka Hayat).

Mod Arcade membolehkan pemain berlatih dan berkongsi markah tertinggi dengan rakan, manakala Mod Masa Serangan mencabar ketangkasan pemain memusnahkan 300 musuh dalam masa dua minit untuk menyempurnakan misi berkenaan.

Mod Jangka Hayat pula adalah mod terakhir yang memerlukan pemain bertahan selama 180 saat untuk menjadikan misi sempurna.

Setelah ketiga-tiga misi berjaya diharungi, pemain akan menyah kunci karakter baharu, Alicia.

Pemain juga akan melihat pembaharuan dari segi latar belakang yang diberi nafas baharu.

Untuk versi penambahbaikan seterusnya, permainan ini akan menyediakan karakter berserta seragam baharu. Tahap kesukaran juga akan ditambah, selain latar belakang baharu untuk memberi pengalaman berbeza.

Bagi MPD, ini tentunya suatu pencapaian penting berikutan kejayaan membangunkan permainan daripada awal tanpa menggunakan modal besar. Ia juga menggambarkan pencapaian dan kuasa promosi yang masih dimiliki oleh semua stesen TV Media Prima.

Pengurus Besar Kumpulan Media Prima Digital (Produk & MP Labs), Nicholas Sagau Tony Ngimat, berkata kejayaan permainan video itu secara amnya disebabkan kuasa pengiklanan pada platform tradisional.

"Ini menunjukkan, paduan semua platform dalam kumpulan boleh melonjakkan produk pada tahap sepatutnya," tambah Ketua Pegawai Eksekutif MPD, Rafiq Razali.

31 dibaca
Berita Harian X