Isnin, 9 Mei 2016 | 6:36am

Pengundi Cina beralih angin


MANDAT BAHARU... Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menunjukkan tanda kemenangan meraikan kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 di Dewan Undangan Negeri Lama, kelmarin. - Foto BERNAMA

Kemenangan besar diperoleh 'Team Adenan' pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 bukanlah mengejutkan tetapi kekalahan DAP di beberapa kubu kuatnya, memberi mesej tertentu yang menunjukkan bahawa masyarakat Cina mula kembali menyokong kepemimpinan Barisan Nasional (BN).

Kira-kira 10 peratus pengundi Cina dipercayai beralih angin menyokong BN, menyebabkan lima kawasan majoriti Cina yang dimenangi DAP sebelum ini, tumbang. Malah, PAS dan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (Amanah) tewas di semua kerusi ditandingi.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diketuai Tan Sri Adenan Satem, seperti jangkaan menyapu bersih 40 kerusi ditandingi meskipun diasak oleh PAS, Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan majoriti pengundi Bumiputera. Kekalahan beberapa kerusi disandang DAP jelas menunjukkan pendekatan Adenan dengan dasar terbukanya untuk kaum Cina mula menampakkan hasil. Antaranya memberi pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah Cina dan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kerajaan, adalah selaras kehendak masyarakat berkenaan.

Dasar yang diperkenalkan Adenan meskipun diperlekehkan sesetengah pihak, konon masyarakat Cina sudah menolak BN dan tidak akan 'kembali', terbukti tidak tepat. Adenan sebaliknya membuktikan bahawa masih ada ruang untuk meyakinkan masyarakat Cina. Apakah ini sebagai petunjuk untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018?

Strategi itu juga berjaya mengembalikan kerusi majoriti Cina seperti Batu Kawah kepada BN melalui kemenangan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian, yang menewaskan penyandang daripada DAP, Christina Chiew dengan majoriti 2,085 undi.

Yang turut bersaing calon Bebas, Liu Thian Leong yang juga bekas Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) di kawasan itu. Ini cubaan kali kedua, Dr Kui Hian, pakar jantung, selepas tewas di kerusi Pending pada 2011. Chiew menewaskan Tan Joo Phoi dengan hanya majoriti 543 undi pada pilihan raya negeri lalu.

Yang turut menarik perhatian ialah kerusi baharu, Batu Kitang apabila cubaan DAP menguji calon Bumiputera, Abdul Aziz Isa Maridon, gagal. Kerusi majoriti pengundi Cina itu dimenangi BN, Lo Khere Chiang dengan majoriti 1,840 undi.

Pendekatan 'cakap serupa bikin' beliau juga meyakinkan rakyat Sarawak dan terbukti, 53 tindakannya seperti digariskan dalam manifesto BN menambat hati orang ramai kerana kebanyakan menjurus keperluan rakyat, terutama dalam usaha mengurangkan kos sara hidup. Malah, perjuangannya menuntut hak Sarawak turut mendapat sokongan kuat pelbagai kaum.

273 dibaca
Berita Harian X