Selasa, 3 Mei 2016 | 11:21am

Cate Blanchett dipilih duta muhibah bagi UNHCR


PELAKON terkenal Hollywood, Cate Blanchett. - Foto AP

NEW YORK: Pelakon terkenal Hollywood, Cate Blanchett, menzahirkan rasa teruja dan bangga apabila dinamakan sebagai duta muhibah bagi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi pelarian, Filippo Grandi, berkata aktres kelahiran Australia itu sudah menunjukkan komitmen hebat kepada tujuan itu, kerana sebaik tiba dari Jordan Blanchett terus menemui keluarga pelarian Syria dan mendengar kisah perjalanan mereka untuk melarikan diri daripada peperangan.

"Saya bangga mengambil tanggungjawab ini. Tiada lagi masa lebih penting untuk bersama-sama pelarian dan menunjukkan solidariti.

"Kita sedang mengharungi krisis yang belum pernah berlaku dan perlu berkongsi tanggungjawab di seluruh dunia," kata Blanchett dalam kenyataan.

Hari ini, ada 60 juta pelarian dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di negara sendiri, bilangan tertinggi sejak Perang Dunia Kedua.

"Kita seolah-olah berada di persimpangan. Perlukah kita ikuti jalan yang penuh kasih sayang atau jalan tanpa toleransi?

"Sebagai ibu, saya mahu anak-anak saya mengikuti jalan penuh kasih sayang. Ada banyak peluang, lebih optimistik dan penyelesaian pada jalan ituy," katanya yang memiliki empat anak.

UNHCR berkata, Blanchett bekerjasama dengan agensi itu selama setahun untuk meningkatkan kesedaran mengenai keadaan itu. - AP

83 dibaca
Berita Harian X