Isnin, 14 March 2016 | 9:18pm

BoBoiBoy tarik lebih 700,000 penonton ke panggung


PELAKON suara bagi watak Boboiboy, Nurfathiah Diaz (kiri) bersama maskot Boboiboy di Animonsta Studio, Cyberjaya. - Foto Owe Ah Chun

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 10 hari tayangan, filem animasi BoBoiBoy: The Movie berupaya mencatat kutipan membanggakan sebanyak RM8 juta.

Cereka pengembaraan terbitan Animonsta Studio dan diedarkan oleh Primeworks Studios itu sekali gus melakar sejarah sebagai filem animasi tempatan yang mampu menarik lebih 700,000 penonton ke 115 pawagam di seluruh negara.

Pengurus Besar Primeworks Studios, Tengku Iesta Tengku Alaudin, berkata animasi yang mula diputarkan kepada umum pada 3 Mac lalu menunjukkan perkembangan yang baik hasil promosi yang giat dijalankan menerusi seluruh medium dalam rangkaian Media Prima Berhad.

"Jumlah itu sebenarnya sudah melebihi daripada ramalan yang dibuat sebelum ini, malah saya yakin sambutannya akan terus bertambah sepanjang musim cuti sekolah ini.

"Dalam pada itu, BoBoiBoy yang sememangnya sudah mendapat tempat di negara ini menerusi penyiaran siri animasinya di TV3 sejak 2011, takkan berjaya jika produk yang menemui penonton di panggung tidak berkualiti.

"Malah saya yakin kebanyakan penonton yang sudah menontonnya akan terus bercerita mengenai filem ini, yang secara tidak langsung akan menarik lebih ramai penonton lain merasai sama pengalaman, pengajaran dan hiburan yang disajikan menerusi cereka terbabit," katanya.

Selain tayangan di negara ini dan Brunei, kisah BoBoiboy dan rakannya iaitu Gopal, Yaya, Ying dan Fang yang memulakan pengembaraan ke sebuah pulau bagi menyelamatkan rakan robot mereka, Ochobot, akan turut ditayangkan di pawagam Indonesia bermula 13 April depan.

201 dibaca
Berita Harian X