Isnin, 14 March 2016 | 1:53pm

Huawei MateBook tablet hibrid premium Windows 10

BARCELONA: Huawei menggunakan pentas Mobile World Congress 2016 baru-baru ini untuk menarik perhatian dunia kepada pelancaran terbaharunya, Huawei MateBook, tablet premium 2 dalam 1 yang bakal mencetuskan revolusi kepada gaya perniagaan moden.

Sesuai dengan keperluan kebanyakan pejabat di dunia ini termasuk Malaysia, Huawei MateBook dengan skrin 12 inci menggunakan platform Windows 10 yang dikuasakan oleh prosesor siri-m (m3-m7) generasi keenam Intel Core.

Ideanya adalah untuk menyokong persekitaran kerja mudah alih masa kini, memastikan kelancaran produktiviti menggunakan perisian terbaik Microsoft Corp, termasuk pelayar terkini gergasi itu, Microsoft Edge dan pembantu peribadi digital Cortana.

Ketua Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pelanggan Huawei, Richard Yu, berkata Huawei berjaya menghasilkan peranti mudah alih yang diyakini pengguna dan berkuasa untuk memenuhi segenap keperluan tugasan mudah alih perniagaan.

Katanya, pada harga permulaan AS$699 (RM2,844), MateBook dibangunkan sebagai satu lagi produk premium yang memiliki keseimbangan mudah alih dan produktiviti tanpa berkompromi kepada reka bentuk gaya hidup moden pengguna.

"Huawei berjaya menzahirkan pengalaman dan kecemerlangan binaan produk mudah alih premium untuk disesuaikan dengan persekitaran perniagaan moden dengan pengenalan peranti yang cekap dan berkuasa untuk tugas harian," katanya ketika majlis pelancaran Huawei MateBook di Barcelona Sepanyol, baru-baru ini.

MateBook adalah gabungan keupayaan mudah alih telefon pintar dan keupayaan laptop apabila digayakan bersama papan kekunci yang dibangunkan dalam pelindung tablet dan MatePen, pen stylus dengan 2,048 skor sensitiviti.

Kapasiti adalah antara perkara yang diambil berat menerusi pembangunan storan memori LPDDR3 mencecah 8GB dan pemacu berkapasiti 512GB.

Kelancaran penggunaan tablet ini tidak hanya bergantung kepada pen stylus tetapi turut dibantu skrin sesentuh IPS dipertingkat dengan keupayaan mengesan multi-input, resolusi 2160x1440 piksel dan sudut paparan yang luas 160-darjah.

89 dibaca
Berita Harian X