Isnin, 8 Februari 2016 | 12:05am
LUKISAN 'Warisan Yang Menghilang' oleh Ali Akhbar Othman. - Foto Nik Hariff Hassan
PELUKIS, Hady Aris (kanan) memberi penerangan mengenai lukisan 'Tuanku Syed Sirajuddin' kepada Tuanku Syed Faizzuddin pada Pameran Lukisan Arau 1 di ASWARA. - Foto Nik Hariff Hassan

Karya bersejarah Perlis


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil mewarnakan lukisan buah 'Mangga Perlis' pada Pameran Lukisan Arau 1 di ASWARA. - Foto Nik Hariff Hassan

BUKAN sekadar paparan estetika, Pameran Arau 1 yang berlangsung di Galeri Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur, sehingga 29 Februari ini, menggabungkan pelbagai komposisi menarik yang mengangkat persoalan penting dan intim dengan kehidupan manusia.

Pameran yang menghimpunkan 50 karya pelukis daripada pelbagai latar belakang termasuk 'self-taught', lulusan universiti awam (UA) dan swasta serta seniman mapan tanah air.

Kurator Bersama Pameran Arau 1 yang juga Dekan Fakulti Rekaan Komunikasi Visual, ASWARA, Suzlee Ibrahim, berkata pameran itu diadakan khusus mengumpul karya yang bakal disumbangkan sebagai koleksi tetap Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, di Galeri Seni Lukis Negeri Perlis.


LUKISAN Istana Budaya karya Tang Li Yi ada kaitan ciri-ciri bentuk pembinaan dengan Istana Perlis. - Foto Nik Hariff Hassan

Kebebasan kreativiti, eksperimen

"Menelusuri nilai ikonik Arau sebagai bandar diraja dan ilmu, pameran ini memberikan kebebasan kepada pelukis untuk menggunakan kreativiti sendiri dalam bereksperimen dan menyampaikan mesej," katanya pada majlis perasmian yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Antara karya yang intim dengan Perlis ialah hasil pelukis, Mohd Khairul Faizi bertajuk Memory 1 yang menggunakan setem bersejarah berlatarkan wajah Raja Perlis pertama daripada koleksi peribadinya.

"Saya mengumpul setem sejak di bangku sekolah dan kebetulan ada menyimpan setem keluaran 1956 yang menggunakan wajah Raja Perlis pertama, Raja Syed Hussain Jamalullail.

"Selari dengan pameran Arau 1, saya cuba mengolah setem berkenaan menggunakan teknik cetakan sutera saring di atas kanvas untuk dijadikan sebuah karya seni," katanya.


CETAKAN semula setem lama yang ada imej Raja Perlis pertama menggunakan teknik cetakan sutera saring di atas kanvas oleh Mohd Khairul Fauzi. - Foto Nik Hariff Hassan

Cetakan setem, kain saring

Beliau berkata, proses untuk menghasilkannya mengambil masa lebih seminggu kerana setem yang bersaiz kecil itu perlu dibesarkan sebelum dicetak menggunakan kain saring dan kemudiannya di atas kanvas.

"Sebelum mencetak, saya mewarnakan karya ini terlebih dulu menggunakan bahantara akrilik secara manual," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Media Sains dan Grafik, Management & Science University (MSU), Dzul Afiq Zakaria memperlihatkan kebolehannya bermain dengan ruang dalam karya bertajuk Dimension 1.

"Karya ini sebenarnya dihasilkan ketika saya masih tercari-cari gaya dan teknik catan yang sesuai dengan kebolehan diri pada 2013.

"Ia lebih menjurus kepada gaya abstrak ekspresionis yang memfokuskan permainan ruang dalam pelbagai dimensi yang berbeza.

"Bagi menyuntik elemen unik dalam karya ini, saya tidak hanya menggunakan bahantara akrilik, bahkan bereksperimen dengan menggabungkan beberapa media lain seperti syelek dan kapur," katanya yang juga anak kelahiran Mata Ayer, Perlis.

Antara karya lain yang dipamerkan termasuk potret bertajuk DYMM Tuanku Tengku Fauziah oleh Hady Aris; catan bermotifkan gabungkan haiwan dan buah-buahan dalam Merantau Ke Arau (Sukor Roat) dan karya cetakan, Floating Land Series 2 (Faizal Suhif).


LUKISAN 'The Blue Evening' yang dilukis oleh Mohd Hafizi Hassan. - Foto Nik Hariff Hassan


Lukisan 'Candy Trick' oleh Wan Amy Nazira. - Foto Nik Hariff Hassan

INFO Pameran Arau 1
Karya: 50
Kurator: Suzlee Ibrahim dan Dr Asliza Aris
Lokasi: Galeri ASWARA, Kuala Lumpur
Tarikh: Sehingga 29 Februari

132 dibaca
Berita Harian X