Sabtu, 30 Januari 2016 | 12:18am
MENTERI Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (dua dari kanan) melaungkan kata-kata semangat kepada kontinjen atlit, selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sukan Institusi IPT (SUKIPT) 2016 di Stadium Universiti Teknologi Malaysia UTM, Skudai Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

SUKIPT mampu lahirkan jaguh sukan baharu


MENTERI Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) menyentuh papan sesentuh khas sebagai simbolik pelancaran dan disaksikan Naib Canselor UTM Prof.Datuk Ir Dr Wahid Omar (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Sukan Institusi IPT (SUKIPT) 2016 di Stadium Universiti Teknologi Malaysia UTM, Skudai Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi komited untuk membantu kerajaan dalam meningkatkan mutu sukan negara termasuk penganjuran sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa. 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kementerian akan memberi sokongan penuh kepada penganjuran sukan yang membantu pembangunan bidang berkenaan di institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Sukan IPT dan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA). 

Katanya, penganjuran sukan berkenaan dapat melahirkan atlet IPT yang berprestasi tinggi serta melahirkan generasi sihat. 

"Kementerian juga menganggap sukan sebagai satu medium terbaik untuk mengukuhkan perpaduan selain mendidik masyarakat untuk dekat dengan kecemerlangan dan patriotik kepada negara," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016 di Stadium Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dekat sini, malam tadi. 

Seramai 8,000 atlet dari 102 kontinjen menyertai SUKIPT edisi ketiga kali ini yang menawarkan 245 pingat emas menerusi 25 acara bermula 25 Januari lalu hingga 5 Februari ini. 

Idris berkata, SUKIPT memberi satu ruang yang sangat luas kepada mahasiswa untuk mula terbabit secara aktif dalam sukan. 

"Penyertaan terbuka untuk kejohanan ini menghadirkan satu persaingan yang sangat kompetitif kepada lebih ramai atlet yang berada di IPT. 

"Penganjuran sukan ini juga bertepatan dengan lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara untuk menarik, membangun dan mengekalkan bakat berkualiti tinggi, khususnya dalam bidang sukan," katanya. 

Idris berkata, SUKIPT akan dilihat berjaya sekiranya muncul bakat baharu yang layak mewakili negara ke pentas lebih tinggi seperti Sukan SEA, Komanwel, Asia dan Olimpik. 

"SUKIPT ini juga perlu sentiasa relevan sebagai agen yang membantu membekalkan atlet yang akan meneruskan momentum kecemerlangan sukan negara di pentas antarabangsa," katanya.

119 dibaca
Berita Harian X