Khamis, 26 November 2015 | 12:00am

Model kurus beri impak negatif


INDUSTRI fesyen dimonopoli peragawati tinggi lampai bertubuh kurus kering seperti kekurangan zat makanan. - Foto hiasan

IMEJ susuk tubuh bersaiz sifar diketengahkan model dalam rantaian fesyen di High Street daripada pereka jenama premium seperti Victoria Beckham, Armani dan Versace seakan tidak masuk akal.

Namun, hakikatnya saban tahun industri fesyen dimonopoli peragawati tinggi lampai dengan tubuh kurus kering hingga sesetengahnya kelihatan seperti kekurangan zat makanan.

Malah, `kegilaan' pentas fesyen, papan iklan dan majalah mengetengahkan wanita kurus dengan nisbah potongan pinggang 0.4 atau kurang 22 sentimeter (sm) untuk setiap model, dianggap tidak realistik dan menunjukkan imej tidak sihat kepada wanita muda.

Saiz semakin kecil

Beberapa dekad lalu, kempen fesyen High Street menunjukkan, perubahan penampilan model cukup ketara dengan saiz tubuh semakin kecil hingga ada model memiliki susuk tubuh sangat kecil daripada saiz disarankan.

Jika diimbas kembali, industri peragaan sekitar tahun 1990-an banyak mengetengahkan model bertubuh lebar seperti Cindy Crawford, Linda Evangelista dan Gisele Bundchen memakai saiz 10 dan mempunyai pinggang berukuran 72sm dengan kiraan lebih kurang 12sm lebih besar berbanding pinggang model hari ini.

Berbeza pula sekitar tahun 1950-an, penampilan model pinggul besar dengan saiz payudara besar menjadi tarikan kerana ia mencerminkan tubuh idaman ketika era itu.

Imej tidak sihat

Pakar nutrisi dari Universiti London, Dr Margaret Ashwell dipetik sebagai berkata, nisbah kiraan pinggang model High Street ini berukuran kurang daripada 22sm atau pengiraan 0.4 adalah perkara sangat membimbangkan.

Bukan saja mencerminkan imej tidak sihat tetapi nisbah pengiraan membabitkan pembahagian lilitan pinggang kepada ketinggian dalam kalangan model High Street menunjukkan tanda mereka sedang mengalami masalah pemakanan dan kesihatan ketara.

"Impak penampilan model terlalu kurus ini bukan saja memberi kesan psikologi kepada anak gadis, tetapi turut membangkitkan masalah kesihatan kritikal kerana keinginan untuk tampil langsing persis idola mereka.

"Antara jenama fesyen tidak memberikan perhatian terhadap masalah ini adalah H&M yang menampilkan model Jerman, Anna Ewer, memiliki nisbah pinggang hingga ketinggian 0.34sm. Topshop pula mengetengahkan model, Malaika Firth dengan penampilan ukuran pinggan 0.33sm jauh daripada ukuran pinggang sihat untuk wanita,".

"Kiraan ukuran pinggang normal dan sihat untuk wanita adalah antara 63.5sm hingga 80sm bergantung pada ketinggian dan saiz tubuh seseorang wanita itu. Namun, ia juga bergantung kepada genetik saiz wanita sesebuah negara," katanya.


BARISAN model bertubuh langsing jadi pilihan agensi peragaan untuk mewarnai industri fesyen. - Foto hiasan

Masalah kesuburan

Ashwell berkata, amalan nisbah pinggang di bawah garisan normal juga boleh memberi isyarat masalah kesuburan dan meletakkan model berisiko mati awal kerana fungsi lemak di kawasan pinggang penting untuk melindungi organ penting di sekelilingnya, termasuk hati dan buah pinggang.

"Bentuk tubuh wanita yang ideal adalah berbentuk buah pear iaitu berpotongan dan berlemak. Wanita perlu mempunyai jumlah lemak minimum di kawasan ini untuk sistem pembiakan berfungsi dengan baik.

"Oleh itu, untuk menyingkirkan segala lemak di kawasan pinggang, pastinya model ini perlu menjalani pelbagai kaedah penurunan berat badan menyakitkan semata-mata untuk memenuhi permintaan pereka fesyen semasa.

"Perkara ini jelas membuktikan imej diketengahkan rantaian kedai High Street tidak melambangkan penampilan wanita realistik, sekali gus meninggalkan pengaruh negatif untuk anak gadis dan wanita di luar sana," katanya.

Beri tekanan

Diskriminasi saiz dalam industri fesyen turut dirasai segelintir model terkemuka. Awal bulan ini, model British, Charli Howard, 23, pernah muncul di majalah Harper Bazaar mengambil keputusan untuk mengemukakan surat peletakan jawatan terbuka kepada agensi itu.

Walaupun, memiliki tubuh bersaiz enam hingga lapan, model itu tetap dikritik dan dilabelkan sebagai gemuk, malah dipaksa untuk menurunkan berat badannya.

"Setiap hari, saya ditegur kerana saiz badan dianggap besar. Perkara itu membuatkan saya malu dan cukup sedih, biarpun pada hakikatnya saya tahu ia tidak masuk akal.

"Mereka meletakkan standard kecantikan yang tidak mungkin mampu dimiliki anda. Namun, demi mencapai impian ramai di antara model memberikan tekanan terhadap diri mereka.

"Demi mendapatkan saiz bersesuaian dengan pakaian direka mereka, gadis seperti kami terpaksa memberikan banyak tekanan terhadap diri sendiri untuk turunkan berat badan dan akhirnya mendatangkan pelbagai risiko penyakit," katanya.

Kesan negatif

Sementara itu, model dan penulis blog Model Type Face, Rebecca Pearson, 30, berkata kerana terlalu taasub mengejar karier diimpikan itu, beliau terpaksa menjalani diet terlampau untuk mendapatkan lilitan pinggang 57sm.

Kata model British itu, diet terlampau itu bagaimanapun memberikan kesan negatif terhadap kesihatan mental dan tubuhnya hingga beliau pernah membenci diri sendiri biarpun sekadar menjamah epal.

"Saya perlu hadir untuk sesi pengukuran berat badan sekali seminggu. Perkara itu menambahkan tekanan dialami untuk tampil mengikut syarat ditetapkan pihak agensi.

"Jadi, untuk kekal kurus, saya menjalani diet keterlaluan hinggakan saya sanggup tidak makan selama beberapa hari dan mengunjungi gimnasium setiap hari selama empat bulan berturut-turut.

"Namun, saya tetap dikritik dan mereka meminta saya untuk turunkan lagi berat badan sedangkan ketika itu susuk tubuh saya seakan tinggal rangka," katanya.

302 dibaca
Berita Harian X