Rabu, 16 Mei 2018 | 6:51am

Pulih ekonomi cabaran terbesar kerajaan baharu

SATU cabaran terbesar bagi Kerajaan Malaysia yang baharu ialah program pemulihan ekonomi negara.

Masyarakat keseluruhannya inginkan perubahan ekonomi kepada yang lebih baik dan berdaya tahan.

Pemulihan ekonomi semestinya mampu meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi dan menghimpit kehidupan. Inilah harapan menggunung masyarakat keseluruhan.

Namun, adakah masyarakat yang memilih kerajaan baharu sedar bahawa semua program pemulihan ialah proses yang amat menyakitkan?

Sebagai contoh, pemulihan daripada salah guna dadah berbahaya bukan sekadar menyeksakan, malah memerlukan kerjasama padu di antara yang ingin memulihkan (pengamal perubatan dengan teknik rawatan tepat) dan yang akan dipulihkan (keazaman tidak berbelah-bahagi daripada pesakit).

Kedua-dua belah pihak perlu bertindak mengikut peraturan dan bukannya keinginan atau sesuka hati, walaupun terpaksa melalui rawatan yang menyakitkan.

Begitu juga dalam proses memulihkan ekonomi ke landasan yang betul. Orang tua-tua ada berkata bahawa 'yang bulat tak datang bergolek dan yang pipih tak datang melayang' atau 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'.

Pepatah ini menunjukkan bahawa semua perkara tidak akan diperoleh dengan mudah atau senang.

Semua perkara yang ingin kita capai memerlukan keazaman yang kuat, usaha dengan teknik yang betul, berterusan dan menuntut pengorbanan demi mencapai apa yang diinginkan, bukan sekadar melepaskan batok di tangga.

Sebagai contoh, negara maju seperti Jerman, Amerika Syarikat (AS), Jepun atau Korea Selatan sudah mengharungi satu perjalanan pemulihan ekonomi yang panjang dan berliku selepas peperangan untuk mencapai apa yang mereka kecapi hari ini.

Kejayaan mereka bukan diperoleh dengan cara yang mudah atau dalam sekelip mata, tetapi kerana perancangan yang teliti dan pengorbanan berterusan membabitkan semua pihak menjadi kunci kepada pencapaian perubahan ekonomi yang dicita-citakan.

Proses pemulihan ekonomi

Dari sudut ekonomi, pemulihan ekonomi berteraskan pembangunan industri akan melalui tiga proses. Pertama, era sebelum industrialisasi, kedua, era keemasan dan ketiga, era selepas zaman keemasan, iaitu era urbanisasi.

Ketika era sebelum industrialisasi, rata-rata masyarakat hidup di kawasan pedalaman dan serba kekurangan kerana infrastruktur yang kurang memuaskan dan tiada peluang pekerjaan.

Sebaik sahaja negara beralih kepada era industrialisasi, akan wujud peluang pekerjaan baharu.

Semua lapisan masyarakat akan mendapat kesan limpahan positif seperti kemudahan infrastruktur asas dan peningkatan pendapatan, walaupun mereka yang rendah tahap pendidikan dan kurang berkemahiran.

Zaman ini dinamakan sebagai era keemasan. Selepas era keemasan, akan menyusul proses urbanisasi, iaitu berlaku peningkatan kos sara hidup dan persaingan sengit untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang sangat terhad.

Ironinya, tempoh masa era keemasan menjadi lebih singkat dengan wujudnya fenomena globalisasi.

Sebagai contoh, Eropah dan AS menikmati era keemasan untuk tempoh kira-kira 40 tahun, mulai awal 1940-an hingga pertengahan 1970-an.

Namun, negara pengamal dasar industrialisasi selepas itu menikmati zaman era keemasan dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Sebagai contoh, Jepun hanya 30 tahun (pertengahan 1960 hingga pertengahan 1990-an) dan 'Negara Asia Kian-Muncul' seperti Korea Selatan dan Taiwan selama 20 tahun (1985 hingga 2005).

Bagi negara kita Malaysia, zaman keemasan lebih singkat lagi, iaitu sekitar 15 tahun mulai pertengahan 1980-an hingga penghujung 1990-an atau awal 2000.

Atur strategi

Memahami fenomena kesan industrialisasi, zaman keemasan dan urbanisasi yang mengakibatkan peningkatan kos sara hidup tinggi dan peluang pekerjaan terhad, negara maju seperti Jerman, AS, Jepun dan Korea Selatan mengorak strategi selangkah ke hadapan.

Mereka mewujudkan budaya inovasi berteraskan teknologi dan pembangunan lestari, mahu menerajui dan menjadi negara penyedia teknologi dan bukan sekadar pengguna teknologi demi meningkatkan kesan nilai tambah yang tinggi.

Pemulihan ekonomi bagi Malaysia seharusnya dimulakan dengan dua entiti utama yang terbabit secara langsung dalam ekonomi pembangunan. Pertama ialah firma swasta dan kedua, individu ahli masyarakat.

Pembabitan firma swasta dalam aktiviti ekonomi ialah bermotifkan kecekapan agihan sumber dan keuntungan.

Sebaliknya, jika pertumbuhan ekonomi ditunjangi agensi kerajaan, aktiviti ekonomi akan berteraskan kepada kepentingan peribadi dan pengekalan kekuasaan pemerintahan.

Aktiviti ekonomi berteraskan kerajaan akan menjurus kepada aktiviti tidak sihat seperti rasuah dan birokrasi yang menyusahkan.

Proses pemulihan ekonomi juga seharusnya berteraskan kepada individu yang lebih produktif dan berdaya saing.

Buang sifat suka meminta-minta

Semua ahli masyarakat perlu memadamkan sifat suka mengharap belas ihsan orang lain dan sifat meminta-minta kecuali mereka yang kurang upaya dan warga emas.

Tiada siapa akan membantu melainkan diri kita seharusnya berusaha lebih gigih dan berterusan. Nilai dan integriti modal insan semestinya diperhebat.

Diharap proses pemulihan ekonomi akan menghasilkan keputusan yang disasarkan, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi dunia yang sedang mengalami kelembapan dan ketidaktentuan.

Negara kecil dan terbuka seperti Malaysia sangat bergantung kepada persekitaran ekonomi dunia.

Banyak contoh dari negara lain bahawa dasar yang baik dan disusuli dengan pelaksanaan yang rapi pun hanya mampu untuk mengurangkan kesan negatif yang lebih teruk daripada terus menular kepada ekonomi domestik.

Hakikatnya, kelembapan ekonomi global mampu menghancurkan proses pemulihan ekonomi yang diharap.

Ringkasnya, jika negara kita yang dicintai ingin menikmati pembangunan mapan dan kos sara hidup rendah seperti dikecapi negara maju lain, sebenarnya menuntut kepada pengorbanan dan usaha berterusan semua golongan masyarakat.

Kerajaan hanya berfungsi sebagai pemudah cara dan penyedia prasarana yang diperlukan untuk pembangunan kerana era urbanisasi menuntut masyarakat untuk lebih berusaha dan bukannya mengharap.

Harapan hanya akan tinggal harapan tanpa usaha dan pengorbanan daripada semua masyarakat.

5742 dibaca
Berita Harian X