Rabu, 14 Februari 2018 | 6:33am

Hati bersih penentu akhlak mulia

SESUNGGUHNYA anggota tubuh yang diciptakan paling mulia dalam diri manusia ialah hati (kalbu). Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur." (Surah AnNahl, ayat 78). Allah SWT menyebut tiga perkataan ini dalam Al-Quran sebanyak 132 kali yang menggambarkan kepentingannya kepada manusia.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi, berkata ulama tafsir menegaskan tiga perkataan, iaitu pendengaran, penglihatan dan hati yang Allah sebutkan paling kerap dalam al-Quran kerana ia adalah pintu kepada segala maklumat dan ilmu yang menyentuh kehidupan manusia.

Melalui telinga Mukmin memperoleh pelbagai maklumat dan pengetahuan untuk bertindak dengan setiap ilmu yang didapati. Begitu juga dengan mata, Mukmin dapat melakukan perkara yang membawa kebaikan kepadanya dan umat lain di muka bumi ini. Tidak kurang pula dengan hati kerana kalbu memberikan Mukmin ketakwaan dan kecintaan kepada Allah SWT. Dari hati juga, Allah SWT memberikan ilham kepada Mukmin membuat penilaian dan perbezaan antara perkara baik dan buruk yang akan membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan.

Pelihara hati

Sesungguhnya hati ibarat raja bagi anggota tubuh dan ketua dalam segala bentuk kehidupan manusia. Jika baik hati itu, maka baiklah kehidupan seseorang Mukmin tetapi jika buruk atau rosak hati itu, maka punah seluruh anggota tubuh dan kehidupan Mukmin. Memelihara hati bukan seperti memelihara anggota badan yang lain, merawat hati perlu kepada ketakwaan dan keampunan dari Allah SWT kerana hati yang selalu subur dengan mengingati Allah akan sentiasa terpelihara oleh rahmat Allah SWT.

Apakah hati kita sihat atau sebaliknya? Hati yang sihat atau sakit dapat dilihat melalui perbuatan dan kata-kata seseorang mukmin. Orang yang hatinya subur dengan kebaikan terserlah melalui akhlak yang indah dan disenangi orang sekeliling manakala Allah reda ke atasnya. Orang yang hatinya bermasalah, kotor, sakit dan tidak bersih juga diterjemah melalui perbuatan buruk, tidak beramal soleh bahkan tidak memberi kebaikan kepada dirinya dan orang sekeliling.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang yang sebelumnya diturunkan al-kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang yang fasik." (Surah Al-Hadid, ayat 16)

Dekatkan diri dengan Al-Quran

Jelas, bagi hati yang keras, sungguh banyak waktu yang dimiliki tetapi tidak disibukkan dengan mendekatkan diri dengan ayat-ayat Allah. Bahkan, hati tidak terdidik dengan ilmu agama sehingga menjadi keras dan menyebabkan hati menjadi hitam untuk menerima ilmu dan kebaikan. Hati yang keras akan cenderung kepada perkara yang mengundang dosa, perbuatan sia-sia dan mungkar.

Allah banyak kali mengingatkan kita dalam Al-Quran bahawa celaka dan rugilah bagi orang Mukmin yang hatinya keras untuk beramal soleh dengan amalan yang mendekatkan diri mereka dengan Allah.

Berbeza dengan Mukmin yang hatinya jernih dengan titik kebaikan, akan mudah menerima ilmu dan taat akan agama Allah. Orang yang hatinya bersih akan tersisih dari perkara yang dilarang bahkan hanya terarah kepada perbuatan yang hanya mendatangkan pahala Allah SWT.

Setiap Mukmin perlu sentiasa berusaha mencari jalan mendidik dan merawat hati kerana hati yang sentiasa dirawat dan disuburkan dengan amalan soleh mudah tunduk akan setiap perintah Allah.

Bahkan hati yang lembut akan mudah memperoleh ketenangan yang membuatkan dirinya menjadi hamba yang beramal soleh.

574 dibaca
Berita Harian X