Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:16am
ANTARA filem Melayu, dari kiri; Abang Long Fadhil 2, Hijabsta Ballet dan Tombiruo.

Tayangan filem Melayu serba menjadi dinanti

Masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2018. Semoga tahun baharu ini akan membawa semangat dan rezeki baharu buat kita semua. Semoga kek yang besar itu boleh kita kongsikan dan sama-sama kita dapat rasai kenikmatan yang Allah SWT berikan.

Lebih 59 filem ditayangkan sepanjang 2017 dengan koleksi kutipan RM55.2 jutaberdasarkan sumber wajib tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Ini satu pulangan besar untuk industri yang dikatakan besar juga. Namun, jurang antara filem terlaris iaitu Abang Long Fadhil 2 dengan kutipan RM18.15 juta dengan kutipan terendah Luqman iaitu RM4,000 adalah teramat jauh.

Apa yang menyebabkan jurang ini menjadi sebegitu besar? Apakah pengisiannya? Pemasarannya? Ataupun cita rasa nitezen yang sudah berubah? Persoalan demi persoalan dan rencah demi rencah dicari untuk menjadikan filem Melayu sebagai filem terlaris, nampaknya menjadi agak suram serta gagal. Apa yang dimahukan oleh masyarakat kita sebenarnya?

Jika drama TV dibanjiri dengan drama adaptasi dari novel hinggakan mencecah belasan juta tontonan, adakah filem juga mahukan yang sama? Tombiruo yang diadapatsi daripada novel, mendapat kutipan memberangsangkan, iaitu RM7.97 juta. Tetapi filem Kau Yang Satu juga daripada adaptasi novel hanya mengutip RM764,000.

Jurang besar

Kenapa perbezaan kutipan ini memberikan satu jurang besar sedangkan genre adalah sama? Adakah masyarakat kita mahukan novel aksi dan bukan lagi novel cinta untuk difilemkan? Adakah cita rasa mereka sudah berubah, no more love story?

Jibam juga adaptasi novel, tetapi hanya berjaya mengutip RM241,000 dengan persembahan dikatakan, meninggalkan impak kuat pada filem Melayu, tetapi gagal menarik penonton untuk ke pawagam? Kenapa ia berlaku?

Hijabsta Ballet dikatakan, filem yang mengajak remaja berfikir dan menerima suatu yang baharu juga hanya berjaya mengutip RM16,000. Kerja Kawin pula hanya mendapat RM15,000, manakala Pencuri Hati Mr Cinderella pula mengutip hanya RM19,000.

Bagai langit dengan bumi kalau hendak dibandingkan koleksi filem Melayu kita dengan filem dari Barat yang terus-terusan mendominasi kutipan puluhan juta ringgit. Sedangkan, filem kita masih terus tersepit antara kekuatan penceritaan dan juga kekuatan kesan khas yang begitu mengagumkan daripada filem luar negara.

Adakah penonton kita sudah tidak mahu menonton filem kita yang berat? Atau mereka hanya mahu filem ringan yang tidak membebankan minda mereka? Fenomena ini sebenarnya berlaku sejak sekian lama dalam industri filem kita tahun demi tahun, genre apa yang boleh menarik penonton ke pawagam. Apakah perubahan diperlukan untuk 2018?

Pengisian, pelakon sama penting

Pada saya, drama mahupun filem, yang paling penting ialah pengisiannya. Sejauh mana isinya dapat menarik minat penonton selain barisan pelakon terkenal dan juga pembikinan yang lain daripada kebiasaan. Adakah kita sudah mampu untuk terus memberikan kelainan ini kepada penonton? Mereka mahukan Abang Long Fadhil sebuah filem yang bergenre komedi ringan dengan diterajui oleh pelakon popular Malaysia.

Adakah semua filem terpaksa mengikut genre dan formula ini untuk menarik peminat ke pawagam. Semua filem untuk 2018 harus ada ciri-ciri seperti itu dan bukan lagi filem yang hendak dibikin oleh pembikin yang mahu menjual cerita yang penuh dengan mesej dan pendidikan. Rupa-rupanya orang ramai kini mahu menonton filem bukan mahu diajar oleh filem itu.

Keberanian filem Pinjamkan Hatiku mengutip RM2.69 juta dan filem Bisik Pada Langit dengan hasil RM2.45 juta yang membawa sebuah penceritaan yang berat harus diberikan satu tepukan gemuruh kerana berani mengangkat tema cinta dan tema kekeluargaan yang sarat untuk ditayangkan pada umum.

Rata-rata memuji filem ini, tetapi masih gagal menarik lebih ramai peminat. Apa pula silapnya filem bergenre ini? Pelakon popular ada, content yang hebat ada, penceritaan menyentuh jiwa ada, penuh dengan air mata, fotografi hebat juga ada, tetapi masih gagal, kenapa?

Pelbagai genre yang dipersembahkan pada 2017 dan hanya sebahagian kecil yang betul-betul dapat menarik penonton dan yang lain sekadar penghias sementara di panggung. Di mana silapnya? Apakah kita selamanya harus mengikut cita rasa penonton? Ataupun kita yang set up pada filem kita untuk minda penonton? Yang mana satu ? Sedangkan ada juga filem komedi yang ditayangkan, tetapi tidak dapat maklum balas yang baik daripada penonton.

Filem Motor Terbang dan Rempit Sampai ke Langit adalah filem berunsur ringan serta komedi, tetapi hanya mengutip RM432,000 Begitu jauh kutipan dengan filem Abang Long Fadhil 2. Begitu juga filem yang agak berat seperti filem Soulmate Hingga Jannah, hanya berjaya mengutip RM25,000.

Adakah penonton kini sudah pandai menilai filem yang mahu mereka tonton ataupun penonton hanya serkap jarang nasiblah filem mana yang kena? Susah sebenarnya hendak menghasilkan filem yang disukai oleh penonton. Namun, inilah hakikat yang terpaksa kita sama-sama terima.

Inilah timbul tenggelamnya sesebuah filem Melayu. Ada yang terus timbul dan terus terapung dan ada pula yang timbul sekejap serta terus tenggelam. Ada pula terus tenggelam tak timbul.

Kita kini mempunyai banyak institusi pengajian tinggi yang mengkhusus kepada filem dan kajian filem. Profesor yang berkaliber sudah banyak dilahirkan dalam bidang perfileman ini. Patutkah mereka bergabung dan mengkaji apakah bentuk filem yang dimahukan oleh masyarakat kita dan apakah bentuk filem yang patut kita hasilkan supaya filem kita terus maju dan bertapak megah di negara kita sendiri.

Diharapkan, 2018 lebih banyak filem yang membawa mesej hebat dan filem yang boleh mengangkat nama negara ke mata dunia. Penghasilan filem yang besar ini harus diberikan sokongan oleh kerajaan kerana filem boleh menjadi penjana ekonomi negara seperti filem daripada luar negara. Sama-sama kita nantikan apakah filem yang formulanya lengkap ini dapat ditayangkan 2018. Wallahualam.

Penulis adalah seorang Sutradara

783 dibaca
Berita Harian X