Ahad, 24 Disember 2017 | 6:55pm
ERZA Hanif 24, menunjukan pais telur ikan jan yang dijual di Belawai - Foot Khalid Latip
PAIS telur ikan jan yang dijual di Belawai. - Foto Khalid Latip

Telur ikan jan menu unik

BELAWAI: Rupa bentuknya bulat, manakala rasanya pula berlemak sedikit, sungguh menyelerakan apatah lagi jika makan bersama sagu atau nasi.

Itulah keistimewaan telur ikan jan yang mendapat permintaan tinggi sehingga mampu memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya, di Kampung Belawai, di sini.

Namanya mungkin tidak sepopular telur terubuk, namun telur ikan jan ada keistimewaan dan tarikan tersendiri sehingga ada yang menggelarnya sebagai 'mutiara ikan'.

Peniaga, Sabariah Matusin, 34, berkata kelazatan mutiara ikan itu boleh dinikmati dengan cara meletakannya dalam daun nipah, sebelum disalai sehingga kuning keemasan.

"Telur ini mendapat permintaan tinggi penggemarnya yang mengakui 'ketagih' selepas merasa kesedapan rasa lemak dan lembut telur ikan itu .

"Keenakan telur ikan jan juga popular sehingga ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu mendapatkannya," katanya, di sini.

Sabariah berkata, telur ikan jan sebenarnya diperoleh daripada pembekal, sebelum dijual secara berasingan dari ikan jan yang harganya mampu didapati serendah RM4 hingga RM5 sekilogram. 

Katanya, bekalan ikan itu mudah diperolehi kerana ikan jan banyak didapati di pantai Belawai hingga Tanjung Manis.

"Kehadiran ikan juga tidak bermusim, namun paling banyak ditangkap pada Februari hingga Ogos," katanya.

Seorang lagi peniaga, Dewi Bugem, 40, berkata permintaan tinggi ke atas salai telur ikan jan secara tidak langsung mempopularkan nama Belawai.

"Saya mengusahakan perniagaan ini sejak lima tahun lalu dan hasil pendapatannya amat berbaloi, walaupun hanya berniaga secara sambilan di hadapan rumah," katanya.

1844 dibaca
Berita Harian X