Jumaat, 29 Disember 2017 | 1:00am
DUN Bukit Melawati Jakiran Jacomah. - Foto Suzaini Sulaiman
FOTO hiasan.

Kerang pilihan murah untuk menambah darah

- Gambar dan video oleh Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Hidangan char kuetiau misalnya, tidak lengkap tanpa kerang, manakala rendang kerang adalah hidangan yang sering menjadi pilihan tidak kira musim.

Selain keenakan hidupan moluska itu, kerang juga adalah pilihan murah untuk menambah darah, terutama dalam kalangan ibu mengandung.

Pesisir pantai Selangor adalah antara kawasan yang menjadi pilihan penternakan dan penuaian kerang berikutan kualiti hidupan laut itu yang lebih baik di sini.

Begitu berkualiti, benih kerang di pesisir pantai Selangor bukan sahaja dibeli penternak di Thailand, ia turut dicuri dan diseludup ke negara jiran.

Namun, realiti sejak akhir-akhir ini amat menyedihkan apabila bekalan kerang di pesisir pantai, terutama di sekitar Kuala Selangor semakin berkurangan, menyebabkan harga hidupan laut itu semakin mahal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Jakiran Jacomah, berkata pihak bertanggungjawab perlu melaksanakan penguatkuasaan dan kajian terbaik bagi memastikan sumber kerang di perairan Kuala Selangor dipulihkan.

Katanya, ia berikutan isu kekurangan bekalan kerang menimbulkan rungutan penduduk, terutama apabila penjual mendakwa bekalannya terhad serta hidupan laut itu dijual pada harga yang cukup mahal.

"Sekarang nak cari kerang pun susah tak macam dulu sedangkan menu rendang kerang jadi kewajipan penduduk setiap kali Aidilfitri dan Aidiladha. Mungkin selepas ini kita nak makan rendang kerang pun susah.

"Sedangkan dulu perairan Kuala Selangor menjadi habitat utama dan kerang pun besar. Kalau tiada kajian untuk pulihkan perairan ini, saya bimbang generasi muda tak kenal kerang selepas ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bagan Sungai Buloh, Lee Fen Shang, berkata isu sama sudah dibangkitkan berulang kali kepada agensi kerajaan terbabit tetapi sehingga kini masalah itu belum selesai.

"Bukan saja hasil kerang terjejas, pendapat nelayan sungai pun sama kerana mereka terpaksa pergi jauh untuk mencari ikan. Apabila tengok sungai hitam, ikan pun lari sebab air kotor sangat.

"Sudah banyak kali kami buat aduan tetapi tiada tindakan diambil. Lebih menyedihkan, keadaan air kembali jernih untuk tempoh sekejap sahaja tetapi selepas itu, kotor balik macam tiada apa-apa dilakukan.

"Sampai bila nak tanggung? Hasil kerang yang kami dapat semakin hari semakin berkurangan dan banyak yang mati. Setiap kali kami cuci kerang yang dibawa naik, banyak cengkerang yang dikutip berbanding kerang yang ada isi.

"Apabila fikirkan nasib nelayan di kawasan ini yang harapkan hasil kerang untuk hidup, kami tak sanggup lagi berdepan masalah pencemaran ini sebab nak dapatkan hasil yang lumayan cukup susah," katanya.

741 dibaca
Berita Harian X