Ahad, 7 Oktober 2018 | 2:54pm

Aksi manja badak air

Badak air, mamalia daratan ketiga terbesar di dunia. Berbanding singa dan harimau kumbang, badak air mampu membunuh lebih ramai manusia di Afrika Selatan menggunakan sepasang gigi taring dan memijak mangsa.

Justeru, pengalaman memberi makan haiwan semi akuatik ini di Paya Indah Wetlands sangat mendebarkan, namun mengundang ramai pengunjung untuk melihat aksi ‘manjanya’.

Realitinya badak tidak boleh berenang, hanya berjalan dalam air seperti penari balet. Tiga ekor badak air yang mendiami Tasik Hippo diberi nama Baby (jantan), Lily (betina) dan Cendana (betina).

Apabila renjer mengangkat rumput napier dan buah-buah tempatan, Lily awal-awal lagi sudah membuka mulutnya yang luas dan lebar itu, seolah-olah memahami sudah tiba masa untuk makan.

Ketika mulut Lily ternganga luas leka ‘menjamah’ makanan, itulah saat ditunggu pengunjung untuk merakamkan momen istimewa itu, ada pelancong dilihat berswafoto bersama Lily yang sedang asyik menjamu selera.

Purata berat badak air dewasa adalah antara 2, 268 hingga 3, 629 kilogram (kg). Namun, fakta menarik mengenainya, ia berupaya mengejar manusia dengan mudah.

Sepantas pelari pecut Rekod pernah mencatatkan, badak air mampu berlari dalam jarak dekat pada kelajuan 48 kilometer sejam, iaitu sepantas pelari pecut Sukan Olimpik.

Di Afrika, badak air adalah haiwan yang sangat agresif dan bahaya. Kini, badak air semakin terancam berikutan pemburuan haram dan kehilangan habitat. Walau bagaimanapun, pengunjung berpeluang melihat gelagat Baby, Lily dan Cendana apabila berkunjung ke Paya Indah Wetlands, produk pelancongan popular di pinggir Kuala Lumpur.

Kedudukannya berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut mengundang pelancong asing meneroka kawasan berkenaan.

Jangan sangka air yang tenang tiada buaya. Persekitaran tasik kelihatan cukup mendamaikan terutama pada waktu pagi. Sesekali kelihatan sekumpulan remaja dan kanak-kanak berbasikal mengelilingi tasik berkenaan.

Namun, di tepi tasik itu dibina kawat dan tertera papan tanda memberi amaran, pakar serang hendap. Sebaik sahaja jam 11 pagi, kawasan sekitar tasik dipenuhi pengunjung, mereka seolah-olah menunggu sesuatu.

Rupa-rupanya di sebalik air yang tenang itu adalah habitat buaya tembaga. Tasik Buaya adalah bekas lombong bijih timah yang dipenuhi pengunjung pada setiap hujung minggu atau cuti umum untuk melihat daripada dekat renjer memberi bangkai ayam sebagai habuan untuk sang bedal.

Pengalaman pertama penulis melihat secara langsung puluhan buaya dengan rakus membaham bangkai ayam dan bertarung sesama sendiri berebut makanan. Berat badan buaya tembaga dewasa boleh mencecah hampir satu tan. Beberapa ekor bangkai ayam yang dimakannya, buaya tembaga kenyang kira-kira tiga minggu.

Justeru, kelihatan beberapa ekor buaya seolah-olah tidak berminat menikmati ‘hidangannya’.


BADAK air yang terdapat di Paya Indah Wetlands. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

FAKTA NOMBOR

* 3,100 hektar keluasan Paya Indah Wetlands

* 80 kilogram tiga ekor badak air makan rumput napier sehari

* 57 ekor buaya tembaga yang terdapat dalam Tasik Buaya

INFO

* Paya Indah Wetlands yang diselia Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung.

* Terletak di KM 4, Jalan Dengkil-Banting, Dengkil, Selangor

* Hutan paya bakau ini merangkumi pelbagai jenis ekosistem

* Bekas kawasan lombong bijih timah, dipulihkan wujudkan 14 tasik buatan

* Badak air atau nama saintifiknya, hippopotamus amphibius yang membiak di Paya Indah Wetlands.

* Baka asalnya dipindahkan daripada habitat mereka di Gaborone, Botswana, Afrika Selatan Aktiviti tumpuan

* 10 pagi - beri makan badak air (setiap hari) (lokasi: Tasik Hippo)

* 11 pagi - beri makan buaya tembaga (Sabtu, Ahad dan cuti umum) (lokasi: Tasik Buaya)

* 8 pagi hingga 6 petang - berbasikal (setiap hari) (lokasi: zon rekreasi)

187 dibaca
RENJER memberi makan kepada badak air yang terdapat di Paya Indah Wetlands. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X