Rabu, 3 Oktober 2018 | 1:29pm
ANTARA persembahan teater Encore Melaka. - Foto Rohanis Shukri

Encore Melaka tarikan baharu pelancong

Sejarah difahami menerusi bacaan dan pembelajaran di sekolah sementara kunjungan ke muzium pula menjelaskan lagi aspek penceritaan.

Gambaran sejarah lama bermula dari empayar Kesultanan Melayu Melaka, bagaimanapun lebih jelas apabila pelancong yang berkunjung ke Melaka menyaksikan persembahan teater, Encore Melaka.

Teater bertaraf dunia dengan pentas pertama di Asia Tenggara yang berputar 360 darjah ini sudah pun mula dipentaskan di Impression City, Kota Syahbandar sejak 1 Julai lalu.

Menjadi tarikan terbaharu buat pelancong ke Melaka, teater berkenaan adalah hasil kajian sejarah, budaya dan ketamadunan masyarakat Melaka selama dua tahun, dilakukan tiga pengarah tersohor dari China, iaitu Zhang Yimou, Fan Yue dan Wang Chaoge.

Menceritakan mengenai kisah sejarah Melaka, teater itu membawa penonton menyelusuri masa bermula empayar Kesultanan Melaka hingga sekarang.

Mengimbas kembali kisah yang semakin dilupai, iaitu cerita pelayar awal legasi diplomatik Zheng He, penempatan orang asli dan pertembungan budaya seperti Baba Nyonya, Melayu, Cina dan India di Melaka.


MENAMPILKAN set pentas hidraulik yang mengagumkan. - Foto Rohanis Shukri

Ia juga adalah kompilasi cerita budaya yang mencerminkan masyarakat majmuk sambil meraikan sifat inklusif. Pementasan teater berkenaan memaparkan pelbagai jenis tarian tradisional dengan lagu bertepatan suasana.

Menarik lagi mengagumkan, produksi menggunakan kecanggihan teknologi menerusi aturan imej multimedia moden sekali gus bagaikan membawa penonton masuk ke dalam cerita yang dipersembahkan sambil tanpa sedar, pentas berputar 360 darjah.

Teater itu menampilkan projeksi video inovatif yang mengagumkan dan set pentas hidraulik bertingkat dengan pencahayaan serta teknik akustik.

Menggunakan pelbagai bahasa, termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Portugis dan beberapa dialek tempatan lain, sekali gus memperlihatkan keharmonian yang wujud di Melaka.

Info

Encore Melaka

* Durasi persembahan : 70 minit

* Dewan mampu memuatkan 2,000 penonton

* Maklumat lanjut : https://encore-melaka.com

1114 dibaca
Berita Harian X