Selasa, 19 Disember 2017 | 3:23pm
MANISAH menunjukkan batu kristal yang dijual di kedai ayahnya di kaki Gunung Keriang, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam
MANISAH melayan pelanggan yang mengunjungi kedai ayahnya di kaki Gunung Keriang, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

Peniaga cilik batu kristal Gunung Keriang

ALOR SETAR: Ketika kanak-kanak lain bersuka ria menikmati cuti panjang persekolahan, Balkis Manisah Mahadi, 10, memilih memanfaatkan waktu lapang itu untuk membantu bapanya berniaga batu kristal di kaki Gunung Keriang, di sini.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gunung itu cukup 'ringan tulang' membantu bapanya, Mahadi Mat Akhir, 51, malah mengakui seronok 'bermain' dengan kilauan batu kristal yang banyak dipamerkan di gerai.

"Setiap hari, saya akan pastikan semua batu kristal di kedai disembur dengan air supaya kelihatan segar dan saya juga akan susun batu itu supaya lebih teratur dan kemas.

"Jika ada pelanggan yang mahu beli batu kristal di gerai, saya akan bantu membalut atau membungkusnya. Jika ada tempahan, saya akan masukkan batu kristal kecil ke dalam pasu, sebelum meletakkan batu kristal yang ditempah pelanggan di dalamnya.

"Sudah menjadi rutin wajib saya setiap kali cuti sekolah membantu bapa menjual kristal di gerai sejak berusia lapan tahun. Walaupun tiada istilah melancong ketika cuti, saya tetap gembira menerima kehadiran pelancong di kedai ini," katanya yang tinggal di Kampung Gunung Hulu, di sini.


MANISAH menyembur batu kristal degan air supaya kelihatan segar. - Foto Sharul Hafiz Zam

Manisah mengakui dia tidak mengharapkan sebarang upah kerana faham pendapatan bapanya yang bergantung hasil jualan batu kristal tidak menentu.

"Bagi saya, tiada upah pun tidak mengapa kerana kilauan batu kristal yang bersinar itu menjadi terapi untuk saya sehingga kadang-kadang terlalu asyik sampai terlupa untuk bermain seperti rakan sebaya lain.

"Selama ini saya dan adik-beradik dibesarkan dengan hasil jualan batu kristal. Walaupun tak semewah peniaga barangan lain, saya tetap bersyukur.

"Apa yang penting, saya dapat merasai betapa sukarnya ibu bapa saya mencari rezeki dan kerana itulah saya tidak suka meminta-minta," katanya yang bercita-cita menjadi seorang pegawai polis.

Bagi Mahadi Mat Akhir, 51, Manisah seorang anak yang sentiasa setia menemaninya di kedai bermula jam 12 tengah hari hingga jam 7 petang, pada setiap hari.

Mahadi yang sudah 12 tahun menjalankan perniagaan di kaki Gunung Keriang berkata, dia tidak pernah memaksa anak kedua daripada empat beradik itu membantunya di kedai berikutan usianya masih muda.


MANISAH membantu bapanya, Mahadi Mat Akhir menjual batu kristal di kaki Gunung Keriang, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

MANISAH menyusun batu kristal supaya lebih teratur dan kemas. - Foto Sharul Hafiz Zam

"Manisah sedikit berbeza berbanding kakaknya, Balkis Anisah, 13. Manisah lebih cekap melakukan kerja di kedai dan sekiranya ada pelanggan, dia akan teruja untuk membantu saya, terutama kerja membungkus batu kristal.

"Sekarang, saya dalam proses mengajarnya untuk mengenali nama-nama batu kristal. Ada batu kristal yang kami gelar mengikut bentuknya seperti bunga duri, bunga jarum, bunga Maggie, bunga laksa, tukun batang, kecubung dan bunga pokok.

"Saya yakin dia dapat membezakan jenis batu ini sedikit masa lagi kerana Manisah sentiasa komited, selain cepat dan cergas ketika melakukan kerja," katanya yang mengakui memperoleh pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 hasil jualan batu kristal.

INFO
Batu kristal Gunung Keriang:

  • 270 juta tahun - usia gua batu kapur.
  • Lebih 100 jenis batu kristal atau dikenali 'batu bunga' tersimpan di situ.
  • Memiliki keunikan tersendiri seperti kalsit, aneka jenis batuan dan lokasi sumber fosfat.
  • Batu kristal besar seberat 1,300kg dengan corak seakan bunga bernilai lebih RM40,000.
  • Pelbagai corak dan saiz dengan harga serendah RM5 hingga puluhan ribu.
  • Selain perhiasan, kristal ini mempunyai unsur tenaga untuk tujuan kesihatan.
Berita Harian X