Khamis, 21 Disember 2017 | 10:46pm
PESAKIT malu menjalani rawatan, faktor usia antara punca serangan. - Foto hiasan

Kerap buang air gejala gangguan kelenjar prostat

MALU dan salah faham mengenai penyakit pembesaran kelenjar prostat atau hiperplasia prostatik benigna (BPH) menyebabkan ramai lelaki menyembunyikan masalah dihadapi.

Kebanyakan penghidap juga berpendapat antara gejala BPH seperti kerap membuang air kecil berpunca daripada masalah penuaan dan akan sembuh sendiri tanpa perlu mendapatkan rawatan.

Walaupun BPH tidak bahaya iaitu bukan kanser atau membawa maut, serangan menimbulkan ketidakselesaan dan kesakitan termasuk kegagalan fungsi buah pinggang.

Pakar Bedah dan Perunding Pembedahan Urologi, Dr George Lee, berkata kebanyakan pesakit hanya bertemu doktor selepas dipaksa oleh isteri masing-masing.

BPH kata beliau, boleh menyebabkan beberapa keadaan termasuk nokturia iaitu keperluan untuk membuang air kecil dua kali atau lebih setiap malam atau inkontinens (kencing tidak lawas) hingga mengganggu waktu tidur.

Gangguan waktu tidur

"Secara tidak langsung, keadaan ini mengganggu tidur isteri apabila suami kerap bangun untuk ke tandas," katanya pada pelancaran pakatan GlaxoSmithKline Pharmecutical Sdn Bhd (GSK) dan Persatuan Urologi Malaysia (MUA) bagi menjalankan siri pendidikan mengenai BPH.

Turut hadir, Pengarah Unit Perniagaan, Produk Klasik dan Mapan GSK Sdn Bhd, Ramesh Balakrishnan.

Pensyarah Kanan dan Perunding Urologi, Dr Shanggar Kuppusamy, berkata hampir 75 peratus lelaki yang mengalami gejala BPH enggan berjumpa doktor.


PENSYARAH Kanan dan Perunding Urologi, Dr Shanggar Kuppusamy. - Foto Owee Ah Chun

"Selain tidak memahami apakah BPH dan kesannya, kebanyakannya malu diperiksa kerana membabitkan bahagian sulit mereka.

"Kaedah mengesan BPH juga agak tidak selesa yang mana doktor perlu memasukkan jari telunjuk di bahagian rektum melalui dubur atau anus untuk memeriksa saiz prostat," katanya yang menjelaskan prosedur yang dikenali sebagai pemeriksaan rektal digital (DRE) itu hanya memakan masa lima saat saja.

Selidik sejarah keluarga

Pemeriksaan lain termasuk mengemukakan soalan seperti kekerapan kencing dan pengambilan sejarah kesihatan.

Pemeriksaan lain termasuk ujian air kencing untuk melihat sebarang darah atau gejala jangkitan selain melihat sama ada fungsi buah pinggang terganggu atau sebaliknya.

Ujian mengesan kewujudan barah juga dilakukan dan ultra bunyi atau sitoskopi untuk mengukur jumlah air kencing di dalam uretra (salur kencing) dan pundi kencing.

Presiden MUA, Datuk Dr Selvalingam, berkata BPH adalah sejenis penyakit progresif dan jika dibiarkan tanpa rawatan, uretra mungkin tersekat sepenuhnya yang juga dikenali sebagai pembendungan kencing akut.

"Pesakit boleh mengalami risiko kerosakan buah pinggang, jangkitan salur kencing dan batu pundi yang menjejaskan kualiti hidup penghidap dengan ketara.

"Lelaki yang berusia 40 tahun dan ke atas, mempunyai sejarah BPH dalam keluarga, menghidap masalah perubatan sedia ada seperti berat badan berlebihan atau obesiti, sakit jantung dan penyakit peredaran darah, diabetes jenis dua atau tidak bersenam antara individu yang berisiko diserang," katanya.

Tawar latihan perubatan atas talian

Pakatan GSK-MUA akan menawarkan latihan perubatan atas talian untuk melengkapkan pakar perubatan dalam menguruskan BPH dan memberikan sokongan kepada pesakit dengan kerjasama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Tindakan pertama GSK-Mua dengan menyediakan alat mengukur jumlah air kencing dan kelajuan pembuangan air kecil menggunakan meter 'uroflow' sebanyak 12 peranti berkenaan di klinik yang tidak mempunyai kemudahan berkenaan.

Info:
Apakah prostat:

  • Sebahagian organ reproduktif lelaki.
  • Terletak di depan rektum, bawah pundi kencing.
  • Bersaiz kacang walnut.

Fungsi prostat:

  • Menghasilkan cecair untuk air mani.

Bagaimana prostat membesar:

  • Sel di dalam kelenjar prostat bertambah menyebabkan prostat membengkak.
  • Menekan uretra (tiub mengeluarkan air kencing daripada tubuh).

Gejala BPH:

  • Keinginan membuang air kecil yang tidak dapat ditahan.
  • Kerap membuang air kecil terutama di sebelah malam.
  • Sukar untuk mengeluarkan air kencing.
  • Kencing tidak lawas (rasa air kencing tidak keluar sepenuhnya).
  • Pengaliran air kencing yang perlahan.

Punca BPH:

  • Penuaan (penurunan jumlah hormon testoren
  • Peningkatan hormon dihidrotestosteron (DHT) (menggalakkan pengeluaran sel prostat)

Rawatan:

  • Ubat hanya untuk mengawal gejala
  • Ubat menghalang pengeluaran hormon dihidrotesteron (DHT)
  • Mengawal diet
  • Pembedahan membuang tisu prostat.
Berita Harian X