Sabtu, 14 Oktober 2017 | 10:49pm

Kental berkayuh pada waktu malam, dalam suhu sejuk

SUHU sejuk, hujan dan laluan mendaki sejauh empat hingga lima kilometer bukan satu sebaliknya 13 kali terpaksa ditempuhi, antara cabaran yang terpaksa ditempuhi Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman, 63.

Laluan mendaki itu terpaksa diharungi Hasan ketika memulakan kayuhan antara bandar Erzurum ke Ankara, sejauh lebih 1,000 kilometer dan beberapa kali terpaksa berlindung di celah bukit setiap kali hujan.

"Bukan setakat pakaian, stokin dan baju panas 'thermal' basah kuyup, malah peralatan lain turut lencun," katanya kepada BH.

Katanya, ketika keluar bandar Erzurum menuju Askale, beliau tertarik dengan laluan khas basikal sepanjang 2 kilometer yang dibina kerajaan Turki bagi menggalakkan rakyatnya berbasikal.

Pada masa yang sama mengurangkan kesesakan lalu lintas di Erzurum terutama di waktu puncak.

Memandangkan Turki terletak antara dua benua, Asia Eropah, kebanyakan wanitanya berwajah Eropah berkulit putih.


DUA gadis Turki mirip orang Eropah yang ditemui di Bandar Erzurum.

Hasan berkata, berita beliau berkayuh di Turki, sampai ke pengetahuan Duta Malaysia, Datuk Abd Razak Abdul Wahab dan memintanya segera ke Istanbul.

"Beliau meminta saya ke Istanbul bagi menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melawat Turki pada 18 hingga 21 Oktober ini.

"Bagi mempercepatkan perjalanan, saya terpaksa berkayuh malam dan tidak menginap di beberapa lokasi yang dirancang seperti Tercan, Refahiye, Akdagmadeni, Sorgun dan Yerkoy.

"Saya juga sempat sampai ke Ankara untuk bersama-sama dengan pegawai dan kakitangan kedutaan Malaysia di sana bagi menyertai Hari Sukan Negara yang disambut di Malaysia," katanya.

Katanya, untuk sampai ke Ankara, beliau melalui perkampungan yang menarik dengan rakyat Turki yang ramah tamah.


HASAN bersama Duta Malaysia di Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab dan isterinya Datin Hasimah.

HASAN bersama pegawai, kakitangan kedutaan dan pelajar Malaysia yang menyambutnya di Ankara.

"Saya sempat singgah beberapa masjid yang dibina pada zaman Uthamaniah dan kekal seni binanya. Begitu juga kawasan pertanian ubi kentang, bawang dan salad yang menghijau.

"Manakala di taman peringatan bandar yang dilalui terbina patung bapa revolusi Turki, Kamal Atarturk," katanya.

Hasan berkata, selepas hampir sebulan menikmati teh O panas atau Chai (panggilan tempatan) bersama roti Perancis, kebab dan sup, beliau teringatkan akan cendol pulut.

"Entah macam mana, terbayang di fikiran saya akan cendol pulut dan laksa Kuala Kangsar yang dinikmati bersama rakan-rakan ketika zaman persekolahan.

"Tapi, apakan daya di sini saya bersendirian hanya ada penduduk Turki sambil menikmati Chai.. minuman ini seperti kemestian memandangkan cuaca sejuk," katanya.


KEINDAHAN masjid di zaman Uthmaniah masih tersergam indah di laluan ke Askale.

PATUNG bapa revolusi Turki, Kamal Atarturk dibina hampir di seluruh bandar di negara itu.

Disebabkan keletihan kerana pulun mengayuh, Hasan mengambil keputusan berehat sehari di Sivas pada masa yang sama mengumpul tenaga untuk kayuhan ke Tefahiye.

"Malangnya hanya terdapat tiga hotel di Tefahiye dan kesemuanya penuh. Saya kemudian memasang khemah di tapak pasar tani, bagaimanapun ditegah penduduk di situ kerana tidak selamat.

"Sebaliknya, beliau menawarkan saya tempat tinggal sambil menanti hujan berhenti, di tambah pula suhu terlalu dingin. Pasti Chai panas dan roti menjadi menu makan malam," katanya.

Kata Hasan, seperti kebanyakan negara Islam yang dikunjungi, di pintu masuk masjid sekitar bandar-bandar di Turki terdapat banyak gerai menjual peralatan beribadat.

"Pada 1993, saya ke Makkah di sekeliling kompleks Masjidil Haram ramai orang berniaga barang kemas, tasbih, kopiah dan lain lain.

"Pemandangan ini sama juga di Turki, namun uniknya ada peniaga menjual pelbagai bentuk gitar. Namun, menjual tasbih menjadi keutamaan dan orang-orang tuanya di sini sentiasa memegang tasbih," katanya.


ALAT muzik seperti gitar dan gambus turut di jual di gerai berhampiran Masjid Sivas.

Pelbagai pengalaman itu, yang tidak boleh dilupakan ialah apabila menemui seorang lelaki agak berusia yang mempunyai nama serupa beliau, Hasan di hadapan Hotel Dugan, Kirrikkale.

"Apabila mengetahui nama saya Hasan, pak cik itu terus memeluk saya. Dia kagum apabila melihat dalam usia sebegini, saya masih boleh berkayuh.

"Selepas memberitahu saya memulakan kayuhan dari Tehran dan ingin ke Istanbul sejak 19 September lalu, dia termenung seketika. Lalu mengucapkan tahniah sebelum bergerak pulang ke rumahnya," katanya.

Ketika artikel ini disiarkan, Hasan sudah berada di Ankara atas jemputan Abd Razak sebagai 'ikon' berbasikal solo sempena Hari Sukan Negara 2017 peringkat kedutaan Malaysia di Turki yang turut diraikan di Malaysia.

1103 dibaca
HASAN bergambar bersama tiga penunggang basikal Kirrikkale yang turut membantunya mencari hotel di bandar berkenaan.
PEKERJA perladangan sedang membuang kulit dan membungkus bawang di Yozgat.
BINAAN cangkir air di bulatan jalan raya mengindahkan pemandangan di Bandar Erzincan.
HASAN bersama Duta Malaysia di Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab.
HASAN dipelawa menikmati juadah oleh petugas jalan raya ketika melalui Bandar Yozgat.
HASAN menemui seorang peminat yang turut memiliki nama yang serupa.
HASAN bersarapan dengan nasi kosong, roti Perancis dan kebab di sebuah restoran di Sivas.
Berita Harian X