Sabtu, 7 Oktober 2017 | 4:38pm

Hasan Nawawi nyaris disangka pengganas

TURKI adalah negara kedua dijelajah Wira Daratan, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman, dalam misi kayuhan solo lapan negara Balkan 2017.

Ketika di Turki, Hasan, 63, akan mengayuh sejauh 2,350 kilometer (km) bermula dari Gurbulak, Dogubayazit, Agri, Horasan, Erzurum, Tercan, Erzingan, Refahiye, Zara, Sivas, Akdagmadeni, Sorgun, Yozgat, Yerkoy, Ankara, Kalemler, Bolu, Sapanca, Gebze, Istanbul, Silivri, Ahmetbey dan berakhir di Erdine sempadan Bulgaria (pekan Svilengard).

Selepas menyempurnakan kayuhan sejauh 835 km yang bermula di Tehran, Iran, Hasan tiba di pekan Maku, pintu sempadan ke Turki. Beliau sempat mengambil gambar Gunung Ararat yang dipercayai bahtera Nabi Nuh terdampar di atasnya.

Hasan berkata, ketika di pintu pemeriksaan imigresen (Gurbulak), beliau ditahan hampir dua jam berikutan tertera nama 'Hasan' di pasport antarabangsa miliknya kerana disyaki anggota pengganas.

"Menurut pegawai imigresen terbabit, nama berkenaan sering dikaitkan dengan kumpulan pengganas, Daesh namun anggotanya muda sekitar 30 atau 40-an.

"Melihatkan umur saya sudah menjangkau 63 tahun dan pegawai terbabit berpuas hati selepas membuat semakan serta membaca dokumen perjalanan, saya dibenarkan meneruskan berbasikal," katanya kepada BH.

Dari pintu sempadan ke pekan Dogubayazit memerlukannya berkayuh sejauh 30 km dan Hasan tiba ke pekan berkenaan kira-kira jam 7.30 malam waktu tempatan.

Seawal jam 6 pagi, beliau bangun menunaikan solat Subuh sebelum memulakan kayuhan ke pekan Agri yang jauhnya kira-kira 93 kilometer.

"Ketika berkayuh di sekitar sebuah pasar, saya sempat menemui seorang seorang pekedai dan beliau membelikan saya teh panas. Sebagai kenangan, saya hadiahkan cenderamata misi kayuhan solo kepadanya," katanya.


SEORANG penjual pakaian menunjukkan cenderamatan diberikan Hasan ketika ditemui di bandar Dogubiyazit. - Foto NSTP

Katanya, laluan kali agak mencabar selain berbukit sejauh empat kilometer yang terpaksa dilalui dua kali dengan suhu sekitar 14 darjah Celcius.

"Di tengah perjalanan, saya berhenti dua kali kerana hujan lebat. Saya memakai baju hujan kerana cuaca 10 darjah Celcius, namun kaki tetap sejuk hingga membataskan kayuhan.

"Ketika kira-kira 20 km menghampiri pekan Agri, keadaan semakin gelap namun saya tetap meneruskan kayuhan dan sampai di hotel jam 7 malam.

"Bagi memanaskan badan, saya membeli sup dan tidak sampai 10 minit ia membeku. Bila saya lihat jangka suhu yang dilekatkan pada dinding restoran ia menunjukkan 10 darjah Celcius.

"Selesai makan malam, saya segera ke hotel untuk mandi air panas dan tidur dengan selimut tebal," katanya.

Pengalaman meredah hujan dengan baju hujan, sarung tangan, stokin dan kasut telus air, memaksa Hasan mencari kelengkapan baru di Agri, malangnya kedai beroperasi jam 10 pagi.


HASAN bergambar bersama dua wanita Turki yang ditemuinya di bandar Agri. - Foto NSTP

"Ketika membeli-belah di Agri, saya bertemu dua wanita Turki yang terkejut melihat pesara seperti saya masih sanggup berbasikal secara solo.

"Mereka memberitahu orang Turki seusia saya biasanya berehat di rumah dan tidak keluar merantau. Mereka kagum dengan kemampuan saya yang masih ingin melakukan aktiviti lasak," katanya.

Untuk meneruskan kayuhan mungkin agak lewat dan beliau mengambil keputusan untuk berehat sehari lagi bagi memulihkan tenaga di Agri.

"Melihat sup yang membeku semalam, saya tidak berani memesan menu berkenaan. Makan tengah hari hanya sedikit berlaukkan daging kebab yang dihiris nipis. Dicampur dengan bawang, tomato dan timun mentah, satu amalan pemakanan yang baik serta boleh dicontohi.

"Ketika berkayuh di sekitar bandar Agri ternampak papan tanda Petronas. Ketika memasuki kedai berkenaan, pekedai menunjukkan minyak pelincir jenama Petronas dan beliau memberi isyarat bagus untuk produk berkenaan," katanya.


LALUAN berbukit sejauh empat kilometer yang terpaksa diredah Hassan ketika berkayuh ke Horasan. - Foto NSTP

Selepas berehat satu setengah hari di Agri, beliau bertolak ke Horasan sejauh 100 kilometer dengan 35 kilometer laluan bergunung ganang yang begitu mencabar.

"Ketika laluan mendaki tinggal lima kilometer, saya terpaksa turun dan menolak basikal. Ia begitu meletihkan. Tiba di hotel, saya terus berehat hingga terlupa untuk makan malam," katanya.

Keesokannya seawal jam 5.30 pagi, beliau bangkit dan selesai solat Subuh, bersiar-siar sekitar Horasan bagi mencari bekalan untuk dibawa ke Erzurum.

"Mengikut buku catatan saya, laluan ke Erzurum tidak sesukar ke Horasan. Sepanjang laluan, saya sempat mengabadikan foto sekumpulan pengembala kambing berlatarkan gunung ganang.

"Begitu juga penanam sayur kubis, ubi kentang, labu dan penjual bunga matahari. Menariknya sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual segar serta bersaiz besar.


SEORANG penjual sayur cilik bersama selonggok kubis gergasi yang rata-rata beratnya sebiji hampir 10 kilogram. - Foto NSTP

"Saya terkejut melihat kubis gergasi yang beratnya hampir 10 kilogram sebiji. Saiz labu juga berbeza dengan saiz di Malaysia," katanya.

Melihat pemandangan terutama masjid lama di Erzurum, teringat Hasan akan bangunan di zaman Rome.

"Seperti mana orang Iran suka minum chai atau teh, orang Turki juga begitu. Bezanya mereka memasaknya sendiri menggunakan dapur kayu yang diubah suai. Sempat juga saya memasak dan merasainya sendiri ketika berada di Erzurum keesokannya sebelum bergerak ke Tercan," katanya.


MASJID Erzurum masih mengekalkan seni bina Rome. - Foto NSTP

Ketika artikel ini ditulis bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Datuk Bandar Ipoh ini sudah berada di Tercan.

INFO

* Laluan di Turki sejauh 2,350 kilometer,

* Membabitkan 23 bandar iaitu Gurbulak, Dogubayazit, Agri, Horasan, Erzurum, Tercan, Erzingan, Refahiye, Zara, Sivas, Akdagmadeni, Sorgun, Yozgat, Yerkoy, Ankara, Kalemler, Bolu, Sapanca, Gebze, Istanbul, Silivri, Ahmetbey dan berakhir di Erdine sempadan Bulgaria (pekan Svilengard).

* Suhu 14 darjah Celcius - panas

10 darjah Celzius - hujan

ends

1920 dibaca
HASAN sempat bergambar dengan dua penduduk Agri yang tertarik dengan basikalnya. - Foto NSTP
DUA kanak-kanak Turki dengan bunga matahari bersaiz besar yang dijualnya di Erzurum. - Foto NSTP
SEORANG penanam ubi kentang menjual hasil tanamannya di tepi lebuh raya Horasan. - Foto NSTP
SALURAN paip disediakan kerajaan bagi orang ramai mendapatkan air bukit secara percuma di Erzurum. - Foto NSTP
Berita Harian X