Jumaat, 28 September 2018 | 5:53pm
BINTANG utama filem Paskal, Hairul Azreen (kanan) dan Ammar Alfian. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Paskal pungut RM2 juta hari pertama tayangan

hanisah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Filem aksi ketenteraan, Paskal, mencatat kejayaan awal membanggakan apabila pungutan pada hari pertama tayangannya di pawagam, semalam, mencecah hingga RM2 juta.

Pelakon utamanya, Hairul Azreen, berterima kasih kepada penonton yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada naskhah terbabit, selain pihak yang merealisasikan filem itu.

“Alhamdulillah, impian menjadi kenyataan. Kutipan untuk tayangan hari pembukaan sebanyak RM2 juta! Terima kasih kepada penyokong @paskal _themovie, syarikat produksi @asiatropicalfilms dan pengarahadrianteh19,” katanya.

Selain Hairul, filem membabitkan kos hampir RM10 juta itu turut dibintangi Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal dan Theeban G.

Lebih separuh daripada jalan cerita filem terbabit diinspirasikan daripada kisah sebenar operasi yang pernah dijalankan Pasukan Khas Laut (Paskal).

Filem yang menemui penonton di lebih 130 pawagam seluruh negara itu turut dijadualkan tayangannya di China dan Turki pada akhir Oktober.

Naskhah patriotik berkenaan juga dijangka ditayangkan di Singapura dan Brunei selepas dua minggu menemui kaki wayang negara ini.

2490 dibaca
Berita Harian X