Jumaat, 9 Februari 2018 | 6:09pm
ANTONIO Banderas

Antonio Banderas teruja lakonkan sang pelukis, Picasso

BUDAPEST: Sudah tersurat bintang Sepanyol, Antonio Banderas, yang pernah berulang-alik ke sekolah setiap pagi dengan melalui rumah Pablo Picasso, bakal membawa peran pelukis agung itu.

Sudah bertahun-tahun anak kelahiran Malaga itu, menolak tawaran untuk melakonkan watak pelukis berkenaan kerana mengetahui 'beliau akan dilihat dengan kanta pembesar.'

Bagaimanapun akhirnya Banderas menyebut 'ya' - dua kali.

Beliau akan melakonkan watak Picasso dalam drama televisyen 10 siri yang dikemudi oleh nama besar Hollywood, Ron Howard dan sebuah filem yang menyorot 33 hari yang menyaksikan pelukis berkenaan melukiskan karya agung antiperangnya, Guernica yang ditulis oleh tokoh besar Sepanyol, Carlos Saura.

"Filem memang baik untuk merakam peristiwa," kata Banderas, "Namun untuk kehidupan seseorang, 10 jam di televisyen menjadi wadah yang sangat menarik."

Bagaimanapun dengan tokoh seperti Picasso "tidak kira seberapa baikpun anda lakukan, anda akan berdepan dengan kritikan," kata pelakon berusia 57 tahun itu kepada AFP di set drama bersiri Genius Picasso.

"Ia sama dengan Picasso," Banderas tegaskan. "Beliau tahu apabila beliau melukiskan Les Demoiselles d'Avignon, orang akan cuba untuk memadamkan riwayatnya kerana ia muncul bukan pada masa yang tepat."

Nama Picasso masyhur di kota kelahiran Banderas, Malaga, iaitu pelabuhan Andalusia yang mereka berdua dilahirkan di tempat yang hanya dipisahkan oleh empat jalan.

"Beliau ialah hero. Saya masih ingat ibu memegang tangan saya dan membawa saya ke sekolah pada waktu pagi, melalui rumahnya di Plaza de la Merced," katanya.

Banderas juga mempunyai memori yang indah. Beliau pernah bertemu dengan anak perempuan Picasso, Paloma apabila beliau pertama kali tiba di Los Angeles dan tidak menguasai bahasa Inggeris.

"Saya mula bercakap dalam bahasa Sepanyol dengannya dan beberapa waktu kemudian, beliau menutup matanya dan saya terfikir, oh Tuhan, aku membosankan wanita ini.

"Jadi saya bertanya sama ada beliau penat dan beliau berkata, 'Tidak, bahkan tidak sama sekali. Apabila saya menutup mata, saya dapat melihat ayat saya kerana anda bercakap dengan loghat yang sama dengannya. Itulah caranya ayah saya bercakap, beliau bercakap sama seperti anda.'

"Saya tidak dapat membandingkan diri saya dengan seniman yang paling penting pada abad ke-20, ia tindakan bodoh dan mengarut," katanya yang membawa watak seniman itu pada usia lanjutnya, sekali gus terpaksa menghabiskan masa lima jam sehari untuk solekan sebelum melangkah ke set.

Tidak bersifat biopik tipikal, siri untuk National Geographic - dilakonkan sebahagiannya di Budapest - "adalah diibarat lukisan kubis mengenainya," katanya.

"Kami mundur maju dalam hidupnya. ia bermula dengan pengeboman Guernica, iaitu bandar Basque yang dibumihanguskan oleh pengebom Hitler dan Mussolini semasa Perang Saudara Sepanyol pada 1937.

"Naratifnya tidak linear yang saya fikir sangat bagus," katanya yang mencipta nama dalam filem Pedro Almodovar esperti Women on the Verge of a Nervous Breakdown sebelum berpindah ke Hollywood.

Beliau berkata, perjuangan terbesarnya bukan solekan, sebaliknya cuba memahami Picasso, pilihan yang dibuat secara politik dan seni serta hubungannya dengan wanita dalam hidupnya.

"Anda perlu terus-menerus membaca di antara dua baris untuk cuba memahami apakah kebenarannya," katanya.

Selain menyusuri biografi pelukis itu, pelakon berkenaan turut berbual dengan cucu Picasso, Olivier Widmaier, yang bukunya, Picasso: An Intimate Portrait bakal diterbitkan Mac ini.

Semangat Banderas terhadap pelukis itu juga terserlah pada keyakinannya yang berterusan selama enam tahun bersama-sama filem Saura yang lama tertangguh, Guernica 33 Days yang berlatarkan penciptaan lukisan agung Picasso yang bercanggah dengan latar belakang hubungannya dengan Dora Maar yang bergolak.

"Ia suatu yang berbeza sepenuhnya dengan apa yang kami lakukan di sini, ia didedikasi kepada Guernica, refleksi hebatnya terhadap keganasan dan perang saudara.

"Carlos Saura mahu melarikan diri daripada realisme dan melakukan sesuatu yang secara harfiahnya adalah sebuah lukisan. Saya tertarik dengan itu dan saya mungkin akan masih melakukannya," katanya. - AFP

420 dibaca
Berita Harian X