Selasa, 19 Disember 2017 | 8:06am

The Last Jedi lakar sejarah pecah panggung

LOS ANGELES: Filem blockbuster terkini Hollywood Star Wars: The Last Jedi meraih pungutan lebih AS$450 juta (RM1.8 bilion) sejak mula ditayangkan di seluruh dunia bulan ini, kata Disney semalam.

Filem saga angkasa arahan Rian Johnson yang menampilkan lakonan terakhir mendiang aktres Carrie Fisher sebagai Puteri Leia, meraih AS$220 juta (RM897 juta) di Amerika Utara dan AS$230.8 juta (RM938 juta) di negara lain, kata seorang jurucakap Disney.

Syarikat itu berkata, ia filem pecah panggung global kelima terbesar dalam sejarah perfileman dunia.

Ia juga filem kedua meraih pungutan pembukaan terbesar dalam sejarah perfileman Amerika Syarikat (AS) di belakang Star Wars: The Force Awakens yang meraih AS$248 juta (RM1 bilion) pada minggu pertama tayangannya.

The Last Jedi kembali menampilkan watak yang diperkenalkan dalam The Force Awakens seperti Rey lakonan Daisy Ridley dan Luke Skywalker lakonan Mark Hamill.

Fisher, 60 meninggal dunia pada Disember lalu sebaik selesai melakonkan wataknya sebagai Leia. - AFP

1982 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »