Khamis, 14 Disember 2017 | 12:45pm
PELAKON filem Jibam, Syafie Naswip (kanan) dan Farah Ahmad (kiri) ketika ditemui pada tayangan perdana filem Jibam di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Batalkan tayangan, kenapa biarkan penonton terpinga-pinga?

KUALA LUMPUR: Bintang muda, Syafie Naswip kesal tindakan sebuah pawagam di Seremban yang didakwa memulangkan tiket dan membatalkan tayangan filem Jibam lakonannya selepas 20 minit penonton dibiarkan terpinga-pinga dalam panggung, malam tadi.

Syafie yang kecewa dengan insiden itu memberitahu, dia dimaklumkan sepupu seorang kru yang berada di pawagam terbabit mengenai kejadian itu melalui mesej WhatsApp pelakon filem berkenaan.

"Saya kurang pasti apakah niat dan motif pawagam terbabit berbuat demikian. Namun, bagi saya, ia suatu tindakan yang tidak profesional kerana saya diberitahu, ketika kejadian, lampu masih terpasang dan skrin dibiarkan tidak berfungsi selama 20 minit.

"Situasi itu membuatkan penonton terpinga-pinga, ...kenapa sampai begitu? Akhirnya, petugas pawagam minta penonton memulangkan tiket dan wang dikembalikan," katanya kepada BH Online.

Syafie berkata, sepupu kru produksi yang berada di tempat kejadian sempat merakamkan aksi penonton beratur untuk memulangkan tiket filem arahan Che Mie itu.

Filem Jibam yang diadaptasi daripada novel karya kartunis tersohor, Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon, mula ditayangkan di seluruh negara sejak 7 Disember lalu dan berakhir, malam tadi.

Bagaimanapun, mengikut maklumat terbaharu, tempoh tayangan filem yang turut dibintangi Mohd Ariff Abdullah atau lebih dikenali sebagai Buntat ini dilanjutkan untuk minggu kedua di pawagam terpilih di seluruh negara, mulai hari ini.

Syafie berharap peminat yang belum menonton Jibam dapat segera ke pawagam dengan lanjutan tempoh tayangan yang diluluskan.

"Saya tidak berharap filem ini akan mendapat kutipan pecah panggung. Tapi saya mahu semua yang belum berkesempatan, menontonnya segera," katanya.

Berkongsi pengalaman membintangi filem itu, Syafie berbangga dapat menjadi sebahagian daripada anggota produksi naskhah berkenaan.

"Saya tertarik berlakon filem ini kerana meminati novel Jibam. Selain itu, barisan pelakonnya pun hebat-hebat belaka.

"Saya bangga dapat bekerja dengan mereka yang 'otai'. Kami bekerja macam satu keluarga. Malah, kami berbincang untuk mempromosikan filem ini sebaik mungkin," katanya.

Tambah Syafie, watak Kadir lakonannya juga berbeza dan tidak pernah dihayati sebelum ini.

"Saya sentiasa teruja beraksi ketika penggambaran filem ini. Untuk mengekalkan momentum tenaga watak ini sangat susah.

"Ini kerana Kadir sangat hiperaktif, ...ada saja benda yang boleh buat Kadir jadi baran," katanya.

Filem Jibam dirakamkan di sekitar Sungai Lembing, Pahang dengan kos mencecah sekitar RM1.3 juta.

Selain Syafie dan Ariff, Jibam dibintangi Mohd Ariff Abdullah, Bohari Ibrahim, Esma Danial, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Farah Ahmad, Kazar Saisi, Kamarool Yusoff dan Muhammad Aidil Rafiq.

7136 dibaca
Berita Harian X