Rabu, 13 Disember 2017 | 4:35pm
PELAKON utama filem Jibam, Mohd Ariff Abdullah. - Foto: Supian Ahmad

Ayda ajak orang ramai tonton Jibam

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ayda Jebat mengajak orang ramai menyokong filem Jibam dengan menonton naskhah berkenaan di pawagam bagi mengelakkan ia ditarik balik atau dikurangkan tayangannya.

Tindakan Ayda yang membantu mempromosikan karya berkenaan tentu saja mendapat pujian netizen kerana filem sulung lakonannya, Pinjamkan Hatiku, juga sedang ditayangkan.

"Bagi saya, apa yang dilakukan ini adalah tanda sokongan dan apa salahnya kita saling menyokong antara satu sama lain?

"Niat saya hanya satu, agar filem tempatan mendapat sokongan penonton di negara sendiri," katanya kepada BH Online, hari ini.

Ayda yang turut dikenali sebagai penyanyi, juga tidak menganggap tindakan terbabit mengganggu sambutan terhadap filem dibintanginya bersama Shaheizy Sam dan Farid Kamil.


AYDA Jebat (tengah) bersama gandingannya dalam Pinjamkan Hatiku, Shaheizy Sam dan Farid Kamil.

Ayda berkata, beliau percaya rezeki adalah di tangan Tuhan dan tiada salahnya andai penggiat seni saling membantu dalam usaha merancakkan industri perfileman.

"Saya tahu betapa perit dan payahnya mahu menghasilkan sesebuah filem. Pelbagai perkara perlu dikerahkan termasuk modal, masa dan tenaga.

"Pastinya kita berasa ralat apabila karya berkenaan tidak ditonton, atau ada pihak yang mengkhianati usaha yang dilakukan, seperti mencuri rakam," katanya.

Selain mengajak orang ramai menonton Jibam, Ayda turut menyambut baik impian bintang kanak-kanak filem itu, Mohd Ariff Abdullah atau lebih dikenali sebagai Buntat, yang mahu berlakon dengannya.

Katanya, jika ada rezeki, beliau bersedia untuk berlakon dengan kanak-kanak berkenaan, selain menitipkan pesanan supaya bakat muda itu tabah dalam usaha mengejar impian menjadi anak seni.

"Adik Buntat ada memberitahu dia mahu berlakon dengan saya. Insya-Allah, satu hari nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pinjamkan Hatiku berjaya mencatat kutipan RM2.5 juta selepas 12 hari tayangannya.

2701 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »