Jumaat, 15 Jun 2018 | 7:16pm
PENYANYI, Ernie Zakri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ernie sambut raya dalam syahdu

KUALA LUMPUR: Terasa syahdu dalam hati penyanyi, Ernie Zakri meraikan Aidilfitri bersama kakak tersayang, Yaya yang bakal menamatkan zaman bujang, bulan depan.

Ernie yang cukup rapat dengan Yaya, mengaku kadang kala tidak percaya kakaknya itu bakal menempuh kehidupan baharu sebagai isteri orang.

"Sebagai adik bongsu, saya ambil tanggungjawab membantu ibu bapa membuat persiapan majlis perkahwinan kakak.

"Rasa macam tak percaya kakak akan berkahwin... Sedih pun sama. Mengapa tidak, kami sangat rapat maklumlah hanya kami berdua saja, tiada adik beradik lain.

"Sebagai adik, saya akan bantu apa saja untuk membahagiakan kakak," katanya kepada BH Online.

Ernie mengaku dia perlu menerima hakikat kakaknya akan hidup bersama bakal suami dan berpindah ke rumah lain.

"Saya harus terima hakikat kakak akan memiliki keluarga baharu, tidak lama lagi," katanya.

Ernie berkata, persiapan menyambut Syawal bagi keluarganya berkonsep 'dua dalam satu'. Ini kerana lebih banyak tumpuan terarah kepada majlis perkahwinan, bulan depan.

"Sambil buat persiapan raya, kami uruskan perkahwinan kakak. Saya teruja dan tak sabar hendak menyaksikan hari bahagia kakak tersayang," katanya yang popular dengan lagu Misteri.

Mengenai persiapan untuk diri sendiri menyambut Aidilfitri, Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia hanya menyiapkan sepasang baju raya,

"Memang saban tahun, cukuplah sepasang baju raya. Saya selesa pakai baju kurung. Saya sangat praktikal kerana pada sebelah tengah hari, lazimnya saya sudah menukar kepada baju biasa," katanya.

Selain itu, akui Ernie, banyak busana yang dipakai untuk sesi fotografi dan program televisyen (TV) boleh digayakan sekali lagi.

Mengenai juadah kegemaran di pagi Syawal, semestinya rendang daging dimasak ibu paling dinanti-nantikan.

"Rendang daging sudah menjadi juadah wajib dan mama memasak ikut resepinya. Makan dengan nasi impit, sudah rasa 'terangkat'.

"Saya lebih gemar juadah seumpama itu berbanding biskut atau kuih-muih yang selalunya dibeli saja," katanya.

Ernie berkata, rumah arwah nenek di Bangsar menjadi tempat seisi keluarga berkumpul.

"Hanya pada Syawal kedua, kami sekeluarga akan pulang ke Merlimau, Melaka. Sebelum itu, antara lokasi yang mesti dikunjungi adalah rumah Pak Zain (bapa penyanyi Ziana Zain dan adiknya, Anuar)," katanya yang teruja menyambut Syawal dengan sepupu seusianya.

Ernie berkata, sepanjang Syawal, dia terbabit dalam program raya seperti Melodi Raya, Muzik Muzik Raya, MeleTOP Raya dan konsert Raya RTM.

Tambah Ernie, dia akan mempromosikan single Misteri selepas cuti Aidilfitri.

1563 dibaca
Berita Harian X