Ahad, 13 Mei 2018 | 5:08pm
KELUARGA pelakon kanak-kanak, Puteri Balqis masih menanti rawatan susulan selepas dia mengalami muntah darah dan pengsan. - Foto Instagram Puteri Balqis

'Kami hampir kehilangannya'

KUALA LUMPUR: Keadaan pelakon cilik, Puteri Balqis, 11, yang menerima rawatan disebabkan kerap muntah darah dan pengsan dilaporkan sudah beransur pulih.

Bagaimanapun, menerusi entri di laman Instagram, @rockingbalqis, dipercayai dikemas kini ibu bapanya, tidak menyatakan penyakit yang dihadapi pelakon KL Special Force itu, namun memaklumkan mereka hampir kehilangannya.

"Alhamdulillah sakit Aqish semakin kurang. Saya masih menunggu rawatan susulan. Terima kasih buat semua peminat yang tak henti-henti DM dan WhatsApp bertanyakan khabar Aqish," katanya dalam satu muat naik, kelmarin.

Keluarga pemilik nama sebenar, Puteri Balqis Azizi itu turut menyarankan mereka yang mempunyai anak yang menghadapi masalah jantung dan kanser boleh mencuba daun parsli atau teh selasih.

"Sebelum ini, Aqish asyik muntah darah dan pengsan, malah hampir kehilangannya. Pelbagai makanan tambahan sudah dicuba, tetapi tidak membantu.

"Selepas Aqish minum teh dan mengunyah daun selasih setiap pagi serta malam, sakitnya beransur pulih. Doakan yang terbaik buat Aqish. Sayang anda semua dan terima kasih," katanya lagi.

Sementara itu, panggilan dan mesej kepada ibunya, Norashikin Mohd Aziz untuk mendapat maklumat lanjut mengenai kesihatan Balqis tidak berjawab, manakala bapanya, Azizi Aziz memaklumkan sedang bekerja di luar daerah.

Ruangan komen di Instagram pelakon yang mula menceburi bidang lakonan sejak usia dua tahun itu juga ditutup.

Terdahulu, anak kecil berbakat besar itu dikenali ramai kerana lakonan mantapnya yang meruntun perasaan hingga menerima pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara.

Balqis pernah menewaskan ramai calon berpengalaman ketika bersaing pada Anugerah Televisyen Asia 2014 untuk merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Asia 2014.

ends/..

34920 dibaca
Berita Harian X