Sabtu, 3 March 2018 | 2:25pm
KUMPULAN Bunkface. - Foto Eizairi Shamsudin

Dekati peminat cilik strategi Bunkface bertahan

KUALA LUMPUR: Strategi menambat hati peminat kanak-kanak membantu Bunkface untuk kekal relevan dalam industri muzik.

Ditubuhkan sejak tahun 2005, vokalisnya, Sam Baharom mengakui, bukan mudah untuk sesebuah kumpulan berdiri dalam tempoh yang lama, terutama ketika peminat ghairah beralih kepada aliran muzik terbaru.

"Memang sejak dulu, peminat kecil menjadi sasaran utama kami. Disebabkan itu, lagu yang kami hasilkan menyalurkan mesej yang menyuntik semangat, selain bertemakan cinta.

"Peminat ini akan membesar dengan lagu kami. Apabila mereka meningkat dewasa, kami cuba pula mendekati kelompok peminat generasi baharu.

"Strategi itu membantu Bunkface mengumpul peminat pelbagai generasi. Alhamdulillah, strategi itu berjaya mengekalkan nama Bunkface sehingga ini," katanya kepada BH Online.

Tambah Sam, strategi itu menjadi lebih mudah apabila Bunkface diberi kepercayaan membawakan lagu tema siri animasi Boboiboy.

Bunkface yang turut dianggotai Paan dan Youk itu membawakan lagu Bermula, Masih Di Sini dan Dunia Baru sebagai lagu tema animasi itu.

Sementara itu, Sam berkata, Bunkface bakal mengadakan persembahan sempena sambutan ulang tahun Boboiboy yang ke-11 di Movie Animation Park Studios (MAPS) Ipoh, Perak pada 24 Mac ini. Ia dianjurkan Animonsta Studios (Monsta) dengan kerjasama MAPS.

"Semestinya kami akan membawakan lagu popular Bunkface seperti Revolusi, Darah Muda dan lagu tema Boboiboy. Kami menjanjikan persembahan yang akan meninggalkan memori indah buat semua peminat cilik Bunkface," katanya.

Pengunjung yang hadir juga akan dihiburkan dengan persembahan penyanyi Joe Flizzow, SonaOne dan Altimet.

446 dibaca
Berita Harian X