Rabu, 14 Februari 2018 | 7:47pm
PELAKON, Adam Shahz dan Fatin Afeefa.

Tiada tawaran berlakon, Adam pandu Grab

KUALA LUMPUR: Pelakon, Adam Shahz, menangkis dakwaan bekas isterinya, Fatin Afeefa, 24, kononnya dia terus mengganggu wanita itu selepas kira-kira lapan bulan mereka bercerai.

Bintang Juvana itu juga kesal dengan kenyataan aktres terbabit yang sanggup membantu dirinya kalau dia berada dalam kesusahan.

Katanya, kenyataan berkenaan benar-benar menyakitkan hatinya, seolah-olah dia menggunakan wang wanita itu. Malah, ia turut memberikan kesan kepada ibunya.

Fatin dalam kenyataannya sebelum ini meminta Adam usah mencarinya lagi kerana dia sudah pun melupakan kehidupan lalu, malah pintu hatinya tertutup untuk kembali ke pangkuan lelaki berkenaan.

"Selama ini, ibu saya menganggap kami bercerai kerana kononnya saya yang buat hal. Tetapi, saya diamkan dan buat tak tahu saja.

"Saya akui, selama enam bulan saya tidak mendapat tawaran berlakon. Saya tak dapat peluang kerja seni pun kerana ada orang melakukan sesuatu yang tidak baik kepada saya. Pelbagai benda pelik saya jumpa di rumah.

"Dalam tempoh terbabit, saya tiada pendapatan dan menjadi pemandu Grab bagi menyara hidup. Tetapi, saya tidak mengganggunya. Dia sengaja membuatkan saya dipandang buruk bagi menutup sesuatu. Dia menuduh saya mengintip dirinya di rumah, sedangkan saya lalu di kawasan itu bagi menghantar penumpang pulang," kata Adam kepada BH Online.

Adam juga berkata, sebagai insan dikenali, gerak-geri dan tingkah-laku seseorang artis sememangnya akan sentiasa diperhati.

"Jadi, buatlah sesuatu yang elok kerana banyak mata memandang kita. Bukankah pelik apabila dia mempersalahkan saya kerana netizen marah padanya, selepas melihat dirinya berubah?" tegas Adam.

Kata pelakon ini lagi, jika Fatin berterusan menuduhnya dengan perkara bukan-bukan, dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis.

Adam mendirikan rumah tangga dengan Fatin atau nama penuhnya Fatin Nur Afifah Shamsudin pada 21 Disember 2013. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adam Aisy Arrian, 5, dan Ivy Herra Sophia, 3.

18856 dibaca
Berita Harian X