Rabu, 14 Februari 2018 | 10:02am
PELAKON utama filem Lee Chong Wei: Rise of the Legend, Jake Eng (kiri) dan Tosh Chan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Tosh Chan gementar jadi Chong Wei

KUALA LUMPUR: Sekalipun tidak mempunyai asas dalam lakonan, tuah menyebelahi bakat baharu dari Johor Bahru, Tosh Chan, untuk membawa watak utama dalam filem biografi jaguh badminton negara berjudul Lee Chong Wei.

Melakonkan karakter wira sukan negara itu ketika remaja, bentuk fizikal dan raut wajah pemuda ini yang seakan-akan sama dengan bintang sukan berkenaan nyata memberikan kelebihan buat dirinya.

"Saya memang tidak mempunyai pengalaman berlakon. Apa yang saya miliki cuma minat dalam bidang berkenaan. Atas alasan itu jugalah saya memberanikan diri untuk ke sesi uji bakat filem ini.

"Saya memang tidak menyangka tuah menyebelahi diri apabila pihak produksi, CB Pictures Sdn Bhd, berminat menawarkan watak utama kepada saya. Namun, saya tetap berdepan cabaran getir ketika penggambaran filem ini bermula. Tidak dapat digambarkan betapa gementarnya saya ketika itu. Lucunya, saya sampai diserang demam ketika awal-awal proses penggambaran diadakan.

"Kerja lakonan memang mencabar sehingga saya sendiri jadi hilang tumpuan. Pengarah (Teng Bee) juga pada awalnya memang kecewa dengan prestasi saya. Namun, dia tidak mahu saya cepat berputus asa. Jadi, saya kena mencabar diri untuk memberikan yang terbaik," katanya.

Begitupun, jejaka berusia 20 tahun ini tetap menguatkan semangat dalam merealisasikan watak ikonik terbabit, selain mempunyai cara tersendiri bagi tidak mensia-siakan harapan produksi.

"Saya ada membuat kajian sendiri dalam usaha mendapat maklumat mengenai Chong Wei, termasuklah dengan bertanya pada ibunya. Saya dan ibu jaguh sukan itu ada bertemu dalam sebuah majlis. Kesempatan itu saya gunakan sebaik mungkin untuk mengorek perihal Chong Wei," katanya.

Sementara itu, penerbit filem terbabit, Josiah Cheng, sendiri mengakui usaha mencari pelakon untuk filem berkenaan bukan sesuatu yang mudah.

"Lebih 2,000 orang hadir untuk diujibakat bagi filem ini ketika ia diadakan di beberapa negeri, termasuk Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor.

"Tosh Chan sendiri tidak datang ketika uji bakat diadakan di negeri kelahirannya. Sebaliknya, dia hadir ke uji bakat di Kuala Lumpur. Kelibatnya ketika uji bakat di ibu kota ketika itu pun cuma disedari rakan media yang hadir.

"Lebih 30 bakat yang ditapis akhirnya 'dikurung' dalam sebuah rumah, selama dua minggu. Di situ, mereka tidak diberikan watak tertentu. Masing-masing memberikan persembahan tersendiri, hinggalah kami memutuskan watak apa sesuai diserahkan kepada mereka," katanya.

Tambah Josiah, pihaknya turut menghantar paparan skrin wajah Tosh Chan kepada Chong Wei dan pemain yang berada pada kedudukan kedua dunia acara perseorangan itu nyata memberikan restu.

Sementara itu, peminat badminton berpeluang menjadi orang pertama menonton versi tambahan filem berdurasi 133 minit itu pada sesi tayangan istimewa di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac depan. Filem berkenaan akan ditayangkan kepada umum mulai 15 Mac.

Selain Tosh Chan, filem terbabit membariskan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Mark Lee, Yeo Yann Yann, Jake Eng dan Ashley.

2344 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »