Ahad, 11 Februari 2018 | 5:01pm
DATUK Rosyam Nor (kanan) tidak berpeluang bertemu Datuk Misbun Sidek sebelum menghidupkan watak bekas jaguh badminton negara itu dalam filem Lee Chong Wei. - Foto NSTP

Rosyam ralat tak jumpa Misbun

KUALA LUMPUR: Terbit rasa ralat dalam hati Datuk Rosyam Nor yang tidak berpeluang bertemu Datuk Misbun Sidek sebelum menghidupkan watak bekas jaguh badminton negara itu dalam filem Lee Chong Wei.

Rosyam memberitahu, beliau berusaha membuat kajian sendiri termasuk bertemu individu tertentu dalam mendalami karakter sebenar Misbun.

"Ralat memanglah ralat... Tapi saya faham dengan komitmen dan kesibukan Misbun.

"Keadaan dan masa tidak mengizinkan saya untuk berjumpa dan menyelami wataknya secara berdepan.

"Jadi, saya lebih banyak bertanya dan berjumpa dengan perseorangan untuk membawa watak tokoh yang masih hidup," katanya kepada BH Online.

Dalam filem arahan Teng Bee berkisar liku hidup Datuk Lee Chong Wei sebelum muncul jaguh badminton, Rosyam memegang watak Misbun.

Filem Lee Chong Wei yang membariskan aktor seperti Tosh Chan termasuk pelakon Singapura, Mark Lee, Yeo Yann Yann dan Ashley, bakal menemui penonton pada 15 Mac depan.

Rosyam berkata, dia memanfaatkan perkembangan teknologi untuk mengkaji lebih dekat watak Misbun.

"Mujur zaman sekarang, selepas 36 tahun saya berada di pentas seni, ada ledakan internet. Saya banyak mengkaji cara percakapan, gelagat, bahasa tubuh dan tingkah laku Misbun di laman YouTube.

"Saya cuba sehabis baik membawakan watak berkenaan. Hendak benar-benar jadi seperti Misbun adalah mustahil.

"Jadi saya cuba buat 'ad-lib' (dialog spontan) untuk menjadikan ia lebih realistik. Saya bangga dapat melakonkan watak Misbun," katanya yang pernah membintangi filem Tamil berjudul Kabali.

7153 dibaca
Berita Harian X