Jumaat, 9 Februari 2018 | 1:34pm
NABILA Razali. - Foto Mahzir Mat Isa

Nabila Razali nyanyi lagu tema filem Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nabila Razali tidak menduga populariti yang diraihnya membawa tuah apabila diberi penghormatan menyanyikan lagu tema filem biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Lagu yang diberi judul, Cahaya Juara itu dirakamkan bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia (AF) 2013 secara duet dengan bintang sensasi YouTube kelahiran Sarawak, Priscilla Abby.

Penyanyi yang popular dengan lagu Pematah Hati itu mengakui, teruja apabila terpilih untuk mengalunkan lagu yang berkisar mengenai perjuangan jaguh badminton kebanggaan negara itu.

"Saya akan memulakan rakaman lagu itu pada 13 Februari ini di sebuah studio di ibu kota. Secara peribadi, saya sudah tidak sabar untuk memulakannya, tambahan pula ia mencabar saya apabila sebahagian daripada lagu itu dalam bahasa Cina," katanya.

Priscilla pula menyifatkan peluang merakamkan Cahaya Juara sebagai peluang terbaik untuk menyerlahkan lagi kehadirannya dalam industri muzik.

"Saya sudah merakamkan bahagian lagu itu di Bangkok, Thailand, baru-baru ini. Syukur kerana semuanya berjalan dengan baik dan ia dapat disiapkan dalam masa sehari," katanya.

Filem arahan Teng Bee yang berkisar mengenai kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku untuk muncul sebagai pemain badminton nombor satu dunia bakal menemui penonton di pawagam tempatan bermula 15 Mac ini.

Terdahulu, peminat badminton berpeluang menjadi orang pertama menonton versi tambahan filem berdurasi 133 minit itu pada sesi tayangan istimewa di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac ini.

Filem Lee Chong Wei membariskan pelakon seperti Tosh Chan, Datuk Rosyam Nor, selain pelakon Singapura Mark Lee, Yeo Yann Yann dan Ashley.

1649 dibaca
Berita Harian X