Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:43pm
PELAKON, Elfira Loy. - Foto Mahzir Mat Isa

Hentikan spekulasi, doa yang baik - Elfira Loy

SHAH ALAM: Pelakon, Elfira Loy mengakui, fasa bertunang yang ditempuhinya ketika ini sarat dengan cabaran, namun percaya setiap dugaan membentangkan pelbagai hikmah untuk dinikmati apabila berjaya melepasinya nanti.

Elfira, 24, bagaimanapun meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kenyataannya itu, sebaliknya memohon mereka mendoakan yang terbaik untuk dia dan tunangnya, penyanyi Sufian Suhaimi.

"Saya akui, pelbagai dugaan ditempuhi sepanjang tempoh bertunang, tetapi saya tidak berani untuk menyatakan apakah ia ujian terbesar dalam hidup. Hal berkaitan perkahwinan bukan perkara remeh kerana ia membabitkan banyak pihak.

"Saya tidak mahu kenyataan saya ini menimbulkan sebarang spekulasi. Bukan tidak mahu berkongsi mengenai persiapan perkahwinan dan sebagainya, tetapi saya memang tidak suka bercerita perkara yang belum pasti," katanya.

Elfira bertunang dengan Sufian, 25, pada 6 Oktober lalu di kediaman keluarganya di Alam Damai, Cheras selepas hampir lapan bulan bercinta. Pada majlis itu, keluarga kedua-dua pihak bersetuju memilih Mac ini sebagai detik penyatuan mereka menjadi suami isteri.

Elfira ditemui sempena Festival GegaRia di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, petang tadi untuk berkongsi pengalaman menerusi slot bual bicara yang mengetengahkan topik Tanggungjawab Media Sosial.


ELFIRA Loy ketika di Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad


ELFIRA Loy beramah mesra bersama peminat pada Festival GegaRia. - Foto Syarafiq Abd Samad

Bercerita mengenai peranan selebriti dalam membendung perkara negatif di media sosial, Elfira berharap, masyarakat akan lebih matang dan menggunakan media sosial untuk tujuan yang sihat serta berfaedah.

"Apa yang dikongsi hari ini bukan untuk memberi nasihat, sebaliknya sekadar pandangan untuk mengubah stigma masyarakat. Ada di antara mereka di luar sana begitu gemar menghukum tanpa mengetahui hujung pangkal sesuatu cerita.

"Letakkan diri kita dalam situasi individu itu sebelum memberikan tanggapan negatif. Semestinya kita juga tidak suka orang menghakimi tanpa hujung pangkal," kata Elfira.

4811 dibaca
Berita Harian X