Jumaat, 12 Januari 2018 | 2:51pm
Fadzil Zahari.

'Abang rindukan anak-anak'

KUALA LUMPUR: "Abang nampak murung. Dia rindukan anak-anak".

Ketika dihubungi BH Online, Fadzil Zahari mengakui abangnya yang juga pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil, berkeadaan begitu ketika kali terakhir ditemui, tiga hari lalu.

Fadzil dan adiknya, Dr Anis Anwar akan berusaha membawa abang sulung mereka menjalani pemeriksaan berkaitan tekanan perasaan.

"Ibu bapa kami masih di kampung di Jitra, Kedah. Saya dan adik (Dr Anis) mewakili keluarga kami sedang berusaha supaya abang dirujuk kepada pakar kesihatan," katanya kepada BH Online.

Fadzil tidak menolak kemungkinan kerinduan terhadap anak-anak membuatkan Farid murung.

"Ketika kami bertemu, abang beritahu dia rindukan kedua-dua anaknya. Mungkin perkara itu yang membebani fikirannya," katanya.

Fadzil yang juga suami pelakon Yana Samsudin berkata, mereka sekeluarga berharap Farid dapat menjalani pemeriksaan kesihatan membabitkan masalah tekanan dengan secepat mungkin.

Pagi tadi, mahkamah mengeluarkan perintah reman terhadap pelakon berusia 37 tahun itu bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Fadzil turut dilihat menunggu sebutan kes membabitkan abang sulungnya itu di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

25073 dibaca
Berita Harian X