Selasa, 9 Oktober 2018 | 3:46pm
PENYANYI, Wany Hasrita, diumumkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 31 yang berlangsung di PICC, Ahad lalu. - Foto Eizairi Shamsudin

Hampir 6 juta tonton ABPBH 31

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH 31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober lalu, disaksikan hampir enam juta penonton.

Menurut Nielsen Malaysia, secara purata, ABPBH yang disiarkan secara langsung bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam itu ditonton hampir tiga juta orang dan hampir enam juta secara menyeluruh sepanjang hampir tiga jam bersiaran.

Jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu yang mencatat tontonan 5.2 juta.

ABPBH 31 yang mengangkat tema Infiniti memonopoli 41.3 peratus syer penonton ketika bersiaran, menandingi pelbagai program lain yang turut disiarkan pada waktu sama.

Selain TV3, ABPBH 31 turut bersiaran secara langsung menerusi platform digital termasuk YouTube TV3, BH, Harian Metro dan New Straits Times yang mencatat kira-kira 600,000 tontonan.

Di samping itu, acara berprestij yang turut dikongsi di Facebook BH, Harian Metro dan New Straits Times meraih 263,646 tontonan.

Sejumlah 140,510 lagi diraih menerusi platform Tonton dan Tonton Xtra, menjadikan tontonan seluruh saluran digital mencecah 1 juta.

Pada malam itu, Wany Hasrita yang diangkat sebagai Bintang Paling Popular menerima kereta Citroen Picasso C4 berharga RM126,000 berserta trofi.

Acara berprestij tahunan itu diadakan bagi mengiktiraf penggiat seni tanah air di samping memberi peluang kepada peminat dan pembaca setia BH untuk memilih artis popular serta menyertai malam kemuncak anugerah terbabit.

856 dibaca
Berita Harian X